Dalam kehangatan banyak pihak membicarakan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tumpuan juga mula terarah kepada pemilihan pimpinan PAS yang akan berlangsung dalam tempoh seminggu lagi.

Pemilihan kali ini, dianggap paling sengit sejak penubuhan PAS dengan kempen yang dikatakan tidak pernah berlaku sebelum ini. Media sosial digunakan untuk menonjolkan tokoh-tokoh yang dirasakan layak untuk menduduki jawatan-jawatan utama dalam PAS.

Namun malang bagi sebuah parti Islam apabila media sosial bukan hanya digunakan untuk berkempen sebaliknya untuk memburuk-burukkan, label-melabel dan menabur fitnah antara satu dua kumpulan yang bersaing, kumpulan pro-ulama dan kumpulan pro-Pakatan Rakyat atau progresif.

Label 'Budak DAP' atau 'Geng UG' (Geng Unity Goverment) merupakan yang paling popular digunakan dalam serangan terhadap mana-mana pemimpin yang bertanding pada pemilihan yang akan berlangsung di muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor 4 hingga 6 Jun ini. 'Budak DAP' merupakan label yang diberikan kepada kumpulan progresif yang pro Pakatan Rakyat manakala 'Geng UG' pulak gelaran kepada puak pro Ulamak.

Bahang pemilihan PAS kali ini sudah mula dapat dirasakan ketika muktamar PAS ke-60 yang berlangsung di Batu Pahat tahun lepas. Pemimpin-pemimpin tertentu sudah mula diserang dan diboikot. Insiden keluar dewan oleh segelintir perwakilan ketika Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda merupakan antara isyarat jelas bahawa akan berlaku pertembungan sengit dalam pemilihan kali ini.

Selepas, insiden tersebut, tindakan perwakilan membacakan doa laknat terhadap pemimpin PAS yang dikatakan tidak wala' (setia) kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan lagi bahawa ada pemimpin yang bakal terkorban dalam pertembungan merebut kuasa dalam parti yang dikatakan berjuang untuk Islam itu.

Sejak mula mesyuarat PAS Kawasan tahun ini, sudah dapat dilihat perancangan yang dibuat oleh kedua-dua kumpulan namun yang jelas kumpulan pro ulama lebih tersusun apabila berjaya menguasai sebahagian besar PAS kawasan seluruh negara. Paling mengejutkan beberapa kawasan yang sebelum ini pro progresif, seperti seperti Kubang Pasu,Alor Setar, Padang Serai, Batu, Bukit Bintang dan kawasan yang seumpama dengannya, kini menjadi milik kumpulan pro ulama. Kemunculan ustaz-ustaz muda yang bercita-cita tinggi di dalam hierarki parti berada di dalam senarai perwakilan kawasan.

Kumpulan Pro Ulama melakukan kempen yang dilihat lebih terancang dan bermula lebih awal dengan program seperti Multaqa, Liqa' Fikri, Hiwar, Nadwah. Fokus penjelasan kepada perwakilan dan bakal perwakilan seputar isu mengenai kepimpinan Haji Hadi digugat oleh anasir luar dan dalam, survival kepimpinan ulama.

Di atas kertas, boleh dikatakan pemimpin yang berada dalam kumpulan pro ulama sudah melepasi paras selesa untuk menang, manakala pemimpin yang berada dalam kumpulan progresif masih ketinggalan. Pemilihan kali ini dikatakan denderung berdasarkan blok, dan jika ini yang berlaku, perubahan ketara dalam Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat akan berubah.

Tumpuan banyak pihak kini kepada ke mana PAS selepas muktamar nanti. Jika pimpinan PAS dikuasai barisan ustaz atau disebut juga 'PAS Retro', apakah akan kekal dalam Pakatan Rakyat atau memilih untuk bersendiri atau juga bekerjasama dengan UMNO.

Tumpuan juga terarah kepada kupulan yang tewas, apakah akan hanya berdiam diri untuk mencuba lagi dalam pemilihan akan datang atau bertindak keluar PAS dan menubuhkan parti baru? Menubuhkan parti baru mudah tetapi untuk mendapatkan sokongan agak payah.

Sejarah membuktikan, kecewa, keluar parti dan menubuhkan parti baru bukanlah yang terbaik kerana sebelum ini sudah ada serpihan PAS yang menubuhkan parti baru seperti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Ia ditubuhkan pada 1983 oleh bekas presiden PAS, Tan Sri Dr Asri Muda.

Dalam tempoh seminggu ini, perwakilan PAS perlu memikirkan apakah aspirasi rakyat lebih penting atau memenuhi kehendak kumpulan sendiri demi penguasaaan dalam AJK Pas Pusat. Semingu lagi, kebijakkan perwakilan PAS ditunggu seluruh rakyat Malaysia. Seminggu yang kritikal untuk PAS.