POLITIK
Semua anggota Kabinet sokong RUU Antilompat Parti - Zuraida
Zuraida mengelak untuk menjawab soalan sama ada akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). - Gambar/ Shahir Omar
KLANG: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, menafikan ada anggota Kabinet tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Antilompat Parti).
Sambil menyatakan sokongannya sendiri, Zuraida berkata, mesyuarat Kabinet hari ini juga menyatakan pendirian yang sama untuk menyokong usul tersebut, sekali gus menafikan khabar angin kononnya ada sebahagian yang tidak bersetuju.
“Tak ada (yang tidak menyokong), tadi dalam mesyuarat Kabinet semua setuju dan akan dibentangkan pada hari Isnin,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perdana Jelajah Mari Kenali Sawit di sini, hari ini.
Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memberi komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen PH akan memberi sokongan kepada pindaan RUU Antilompat Parti.
Dalam perkembangan lain, Zuraida mengelak untuk menjawab soalan sama ada akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau juga tidak menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan pernah menaja sebuah program yang dianjurkan oleh parti tersebut sebelum ini.