KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen PH akan memberi sokongan kepada pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti).

Menerusi satu kenyataan bersama, Majlis Presiden PH memaklumkan pemimpin utama PH telah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini untuk membincangkan berkenaan RUU tersebut.

"Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 seperti mana yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen," memetik kenyataan tersebut.

Dalam pertemuan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membangkitkan isu MySejahtera yang dimiliki sebuah syarikat negara asing.

"Isu ini perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat," memetik kenyataan itu.

Kerajaan menetapkan 11 April ini sebagai sidang khas Dewan Rakyat bagi meminda RUU tersebut.