Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin percaya hanya dengan semangat kerjasama sahaja UMNO boleh menang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN Sabah ke-16).

Jelas Bung Moktar, apa jua persengketaan sebelum ini melibatkan dirinya dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan perlu dilupakan sekali gus bergerak ke hadapan.

“Kita UMNO kena ‘move on’. Untuk menang (PRN Sabah) perlu ada kerjasama. Itu saja,” katanya ringkas kepada Astro AWANI.

Bung diminta mengulas mengenai gambar beliau dilihat berdamai dengan Abdul Rahman yang disiarkan beberapa pemimpin UMNO di Twitter.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam status bergambar di akaun twitter miliknya berkata, tindakan berdamai dan saling memaafkan antara Bung dan Abdul Rahman adalah contoh terbaik.

“Meraikan perbezaan pendapat dan saling memaafkan memerlukan seseorang yang berjiwa besar serta sentiasa berlapang dada,” katanya.

Sebelum ini, seramai 12 Ketua Bahagian UMNO Sabah diketuai Abdul Rahman dan sekumpulan pemimpin parti itu membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu untuk PRN bulan ini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO bahagian Tuaran berkata, pemimpin yang menjadi Pengarah Jentera Pilihan Raya perlu bebas daripada persepsi negatif dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.

Bagaimanapun, Bung Moktar mengambil pendirian berdiam diri.