PONTIAN: Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Hishamuddin Busri mengumumkan peletakan jawatan Ketua Bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, dia melihat Bersatu sudah hilang hala tuju dan disifatkan tiada masa depan.

Serentak keputusan itu, beliau yang juga Ketua Cawangan Pekan Nanas Timur turut mengisytiharkan pembubaran cawangan berkenaan.

Keputusan keluar parti ini dibuat secara sukarela melibatkan enam ahli jawatankuasa Bahagian Bersatu Tanjung Piai, lima pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan keseluruhan 300 ahli.

"Pada hari ini, dengan hari yang baik ini saya rasa eloklah saya dan rakan-rakan buat pengumuman secara terbuka untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Berat kami nak cakap, kami tak nak burukkan parti yang pernah kami dukung.

"Bagi saya hala tuju parti itu dah tak selari dengan kami. Kami rasa Bersatu ini dah hilang arah, dah tak ada tujuan, nampak macam tak ada masa depan.

"Kami adalah seorang pejuang untuk memperjuangkan nasib anak bangsa, tapi kami lihat perjuangan kami ini tak selari dengan perjuangan yang ada dalam Bersatu," kata Hishamuddin.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pekan Nanas, di sini, malam tadi.

Hishamuddin kemudiannya menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dalam satu majlis ringkas yang diadakan, pada Ahad.

Menurut Hishammuddin, Warisan dipilih kerana parti itu terbuka untuk semua kaum dan tidak terhad kepada bangsa tertentu selain mempunyai prinsip perjuangan yang jelas.

Sementara itu, Junz Wong berkata penyertaan itu disifatkan penting buat parti Warisan dalam memperluaskan pengaruh di Semenanjung Malaysia.

Setakat ini, Warisan mempunyai 85 cawangan di seluruh negara yang disertai 20,000 ahli.

"Ini adalah satu berita yang baik buat kita. Boleh nampak sekarang sambutan rakyat dari seluruh Malaysia ini tak kira bangsa dan agama telah nampak sudah mula untuk menerima parti Warisan dan juga sebahagian parti lain.

"Di tempat lain, di negeri kedah, perlis, penang, perak dan sekarang di Johor ada nampak satu perkembangan yang baik," kata Junz.