SHAH ALAM : Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan dakwaan bahawa individu yang tular membuat ciapan berhubung kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan beliau atau Pejabat Perdana Menteri.

Shamsul Iskandar berkata, meskipun individu dikenali Zaki Yamani itu pernah berkhidmat selaku Setiausaha Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu beliau memimpin AMK pada 2007, namun itu tidak membawa sebarang kaitan atau makna dalam mana-mana kapasiti rasmi.

“Oleh itu, dakwaan mengenai perkaitan itu adalah sangat tidak wajar untuk dipolemikkan tanpa asas yang jelas,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, pengguna Twitter berkenaan menulis sebuah kenyataan biadab terhadap keadaan kesihatan terkini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika ini, Abdul Hadi yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, telah dibenarkan pulang ke rumah pada jam 2 petang tadi.

Anak Presiden Pas itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan berita tersebut dalam hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.

Dalam pada itu, menurut Shamsul Iskandar, atas kapasiti Pejabat Perdana Menteri, beliau telah pun berhubung dengan keluarga Abdul Hadi melalui anaknya lebih awal sebaik saja berita mengenainya tersebar.

“Syukur alhamdulillah, komunikasi terjalin baik di samping kami turut diberi perkembangan terkini tentang kesihatan Tan Sri Abdul Hadi.

“Mewakili Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri, kami mendoakan keafiatan Tan Sri Abdul Hadi dan berharap agar ruang berziarah dapat diadakan seusai beliau kembali stabil kelak.

“Justeru saya turut senada dengan Perdana Menteri menggesa saudara Zaki Yamani agar dapat mengambil tanggungjawab di atas kenyataan Zaki tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut kesal dengan individu terlibat yang berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi dan mengarahkan pengguna media sosial berkenaan memohon maaf atas hantarannya itu. - Sinar Harian