KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mendesak agar pihak yang menandatangani surat menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin parti.

Beliau menegaskan perkara itu penting bagi menjaga keharmonian parti supaya tegas kepada sesiapa yang melanggar keputusan parti.

Shahidan menjelaskan beliau tidak melanggar sebarang keputusan parti kerana UMNO memutuskan agar bekerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

"Kalau saya ada salah, saya mesti diambil tindakan disiplin oleh parti contohnya dalam pilihan raya saya menyokong parti lain.

"Tetapi apa dia keputusan parti? Ia adalah 'No Anwar, No DAP' dan terbaru 'No Bersatu' tetapi ini ketika pilihan raya nanti.

"Jawatankuasa Disiplin tidak boleh berdiam diri jika ada yang melanggar parti iaitu 'No Anwar, No DAP', kita dapati ada surat yang ditulis oleh presiden kepada Agong yang disaksikan oleh Datuk Seri Najib .

"Saya terpaksa keluarkan balik kerana inilah yang melanggar keputusan parti," katanya pada sidang media khas pada Sabtu malam.

Shahidan menegaskan buat masa ini beliau tidak melanggar sebarang keputusan yang dibuat UMNO kerana parti itu sebelum ini memutuskan akan bekerjasama dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional.

Menurut Shahidan, UMNO juga telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP dengan slogan 'No Anwar, No DAP'.

Katanya, individu yang berusaha memberikan sokongan kepada Anwar dengan cara menulis surat kepada Yang Dipertuan Agong perlu diambil tindakan disiplin keran melanggar keputusan parti.

Biarpun tidak menamakan sesiapa dalam sidang media itu, namun Shahidan dipercayai merujuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang memberi sokongan kepada Anwar.

Tahun lepas tular sepucuk surat yang ditandatangani oleh Zahid dan disaksikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan sokongan mereka kepada Anwar sebagai perdana menteri kesembilan.