POLITIK
Sidang DUN Perak: Pembangkang usul penggantungan Razman dipendekkan

Zainol Fadzi (duduk, dua, kiri) bercakap pada sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak bersama ADUN-ADUN pembangkang, di Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menerima usul yang meminta agar tempoh penggantungan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dipendekkan.
Usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin itu dihantar kepada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sejam sebelum persidangan.
Menurut Zainol Fadzi, usul itu dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 17(1)(p), 21(1)(2), dan 76(1) Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk dipertimbangkan oleh Dewan.
"Usul ini adalah bagi memohon kepada Speaker bagi merunding satu urusan awam yang berkepentingan untuk disegerakan iaitu bahawa Dewan yang mulia ini setelah mengambil maklum keputusan pada 16 April 2025 untuk menggantung Yang Berhormat (YB) Gunung Semanggol (Razman) daripada menghadiri persidangan Dewan selama enam bulan berdasarkan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta menimbang kepentingan rakyat dan prinsip representasi."Tempoh penggantungan YB Gunung Semanggol sewajarnya dipendekkan kerana ia merupakan kesalahan pertama kali.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira hak dan kepentingan rakyat di kawasan (DUN) Gunung Semanggol serta prinsip keluhuran Dewan yang termaktub dalam Perintah Tetap 17(1)(p) dan Perintah Tetap 76(2), dibaca bersama peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak bersama ADUN-ADUN pembangkang di sini, hari ini.
Menurut Zainol Fadzi, perkara itu perlu dirundingkan dan dibawa semula kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berdasarkan 76(1) Perintah Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang seharusnya Razman diberikan hak untuk bersuara.
Selain itu, ujarnya, perkara tersebut bersifat urusan awam melibatkan rakyat di kawasan DUN Gunung Semanggol yang perlu segera dirundingkan atas pertimbangan hukuman terlalu berat bagi dakwaan kesalahan yang dilakukan.
Tambahan pula, katanya, Razman juga telah membuat permohonan maaf dalam Dewan dan di dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Malah, kenyataan yang dibuat tidak berniat untuk menimbulkan sifat perkauman kepada mana-mana pihak, tambahnya.
Zainol Fadzi berkata, ekoran penggantungan itu, tanggungjawab Razman untuk memantau kerajaan dan meluluskan undang-undang juga kini terjejas.
Sementara itu, Mohammad Zahir ketika mengumumkan usul berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti perkara tersebut dan mengumumkan keputusan mengenainya pada akhir Sidang DUN hari ini.

Usul yang meminta agar tempoh penggantungan Razman dipendekkan diserahkan Zainol Fadzi (kiri) kepada Mohammad Zahir (kanan). Foto Astro AWANI
Pada 16 April lalu, DUN Perak meluluskan usul untuk menggantung Razman daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.
Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak.
Razman dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami