SIK: Kerajaan tidak akan menghalang atau mengambil tindakan terhadap keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bercadang mempersembahkan memorandum yang ditandatangani semua Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka semula secepat mungkin.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang keputusan akhir berkaitan tindakan membuka semula Parlimen hanya boleh diputuskan atas titah Yang di-Pertuan Agong.

"Pertamanya, negara kita (adalah) negara demokrasi. Selagi apa-apa yang dibuat itu dalam ruang lingkup yang dibenarkan undang-undang, itu tidak salah, termasuk nak hantar memorandum (atau) nak hantar petisyen.

"Semua boleh, kecuali apa yang tidak boleh dari segi undang-undang.

"Bagi saya, ada yang menghantar memorandum, ada yang menerimanya. Itu sahaja. Orang yang terima itulah yang akan tahu apa kandungan memorandum itu dan orang tersebut akan ambil tindakan," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Sik dan Baling di Dewan Gemilang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin sekali lagi menafikan dakwaan yang dikeluarkan pihak tertentu mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap tidak demokratik dengan tindakan menggantung Parlimen ketika ini.

"Kalau sekolah ditutup, tidak demokratik? Tidak boleh (cakap begitu). Kalau Parlimen tidak bersidang kerana COVID-19, kerana justifikasi yang sah di sisi undang-undang, itu bukan satu langkah yang tidak demokratik," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah mengatakan tidak akan mengadakan sidang Parlimen, cuma persidangan ditangguhkan semasa darurat berkuat kuasa.

"Itu sahaja. Apabila tamat tempoh darurat yang diisytiharkan Yang Dipertuan Agong 1 Ogos ini, serta merta (semua Ahli Parlimen) akan dipanggil bersidang oleh Perdana Menteri.

"Itu memang pasti, sebab kita pun nak Parlimen ini bersidang," tambahnya.

Pada Sabtu, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan menjelaskan akan mempersembahkan memorandum yang ditandatangani semua Ahli Parlimen kepada Agong di Istana Negara mengenai pembukaan semula Parlimen selepas digantung 12 Januari lalu.

Memorandum berkenaan dibuat selepas Pemukiman PH di Port Dickson baru-baru ini, sekali gus menjunjung titah nasihat Agong bahawa darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang.

Tindakan itu juga disifatkan penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen.