Sivarasa nafi beri ceramah politik di masjid

Bernama
Mei 31, 2017 15:31 MYT
Sivarasa berkata, kehadirannya di masjid itu adalah untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen beliau. -- Gambar fail
Anggota Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), R.Sivarasa menjelaskan beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membantu institusi masjid dan surau di negeri itu ketika menghadiri program di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, dekat sini Rabu lepas.
Beliau turut menafikan dakwaan telah menyampaikan sebarang ceramah khususnya yang bercorak politik di masjid itu pada tarikh berkenaan.
"Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat dalam majlis penyampaian itu," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp.
Menurutnya kehadirannya di masjid itu adalah untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen beliau.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pihaknya telah pun mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakan Sivarasa, yang didakwa telah bertindak keterlaluan apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.
BACA: Tak sepatutnya masjid dijadikan pentas ceramah politik - Mohd Amar
BACA: Sultan Selangor murka tindakan Anggota Parlimen Subang
BACA: Pemimpin bukan Islam masuk masjid berpolitik bukan isu baru di Selangor
Mohamed Azmin turut menjelaskan bahawa Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan, sebaliknya majlis itu adalah anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Selangor murka dan dukacita terhadap tindakan anggota parlimen itu yang didakwa tidak menghormati titah baginda yang melarang ruang masjid digunakan untuk aktiviti politik.
Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir masjid itu serta pihak penganjur.
-- BERNAMA
#ceramah politik #masjid #Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang #menyampaikan sumbangan #Mohamed Azmin Ali #Parlimen Subang #PKR #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah