Tidak menjadi satu kesalahan kepada pengundi untuk memakai seluar pendek ketika hadir menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya tidak menetapkan larangan berhubung perkara tersebut.

Sebaliknya, katanya, hanya individu yang memakai pakaian mencolok mata dan memaparkan lambang parti sahaja tidak dibenarkan memasuki pusat pengundian.

“Pakai seluar pendek ini pada saya masih boleh kita benarkan.

“Maknanya ini ada sedikit salah faham. Jadi, kita harap pengundi boleh datang semula untuk mengundi. Jangan merajuk pula ya,” katanya, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Aminudin Baki, di sini.

Terdahulu, beberapa pengundi tidak dibenarkan memasuki Pusat Mengundi di sekolah tersebut kerana memakai seluar pendek.

Insiden tersebut menimbulkan kekecohan selepas pengundi mendakwa etika pemakaian seperti itu bukan satu kesalahan sebelum ini.

Mengulas mengenai proses pengundian, Abdul Ghani setakat ini berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Mengundi.

“Begitu juga dari segi keselamatan sebagaimana yang kita sedia maklum, kita masih di musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan saya berharap kepada semua pengundi mesti memakai pelitup muka yang ada dan juga sentiasa menjaga keselamatan diri,” katanya.

Setakat jam 11 pagi, Abdul Ghani memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah 29 peratus.

Justeru, beliau menyeru pengundi-pengundi muda untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka sebelum proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

Terdahulu, 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka pada pukul 8 pagi.