MESKIPUN banyak khabar angin bertiup kencang baru-baru ini, Pemuda UMNO terus mengulangi pendirian mereka yang tidak menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan tegas menyatakan sekiranya ada yang merayu mereka menyokong Anwar, Pemuda UMNO hanya boleh sebut “minta maaf sajalah!”

Asyraf Wajdi mengulangi pendirian itu menerusi Facebook rasmi beliau bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof dalam satu portal yang meminta UMNO menyokong Anwar.

“Ingat ke Kekanda YB Dr Mujahid Yusof Rawa merayu UMNO untuk fokus agenda bantu rakyat yang sedang susah dan resah depani COVID-19 dan dampak negatif terhadap ekonomi rakyat.

"Kalau merayu supaya sokong Anwar, PEMUDA UMNO hanya boleh sebut MINTA MAAF SAHAJALAH!,” tegas beliau.

 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki

Anwar berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober selepas mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Selepas pertemuan itu, beberapa surat menyatakan sokongan terhadap Anwar tersebar dan ramai pihak juga telah menafikan surat tersebut ada kaitan dengan mereka termasuk UMNO sendiri. 

Astro AWANI pada Isnin melaporkan Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang dijadual berlangsung hari ini dilihat medan terbaik mencari jalan penyelesaian bagi kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

BACA: Mesyuarat Muafakat Nasional, apa yang boleh dijangkakan?

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, hala tuju bentuk kerjasama antara UMNO, Bersatu dan Pas boleh ditentukan, selain perbincangan berkenaan aspek ekonomi dan kesihatan.

"Ini masa terbaik meredakan konflik dalam MN kerana situasi politik sekarang yang tidak menentu dan suhunya perlu diredakan.

"Mesyuarat ini bukan sahaja akan menentukan masa depan UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga kedudukan Perdana Menteri dalam konteks perkembangan dan tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.