KUALA LUMPUR: Satu demi satu sokongan Ahli Parlimen pembangkang terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi indikasi kepimpinan Perdana Menteri itu yang baru hendak mencapai umur setahun mempunyai kredibiliti tersendiri dan diyakini dalam membela nasib rakyat.

Ia juga secara tidak langsung mematahkan desas-desus pertukaran kerajaan kononnya hayat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lepas itu akan berakhir dalam masa terdekat.

Dengan sokongan terbaru empat Ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri, blok kerajaan kini mempunyai 151 daripada 222 kerusi, jumlah selesa dua pertiga di Dewan Rakyat.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata perubahan ini berlaku berkemungkinan beralaskan keyakinan mereka yang merasakan sokongan perlu diberikan bagi membolehkan segala agenda dan polisi yang dirancang Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan.

Ia juga menurutnya memberikan satu bentuk legitimasi moral dan politik kepada Anwar untuk memastikan apa yang beliau lakukan dapat disusuli pelan tindakan yang baik dengan sokongan kepimpinan bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga beberapa pemimpin pembangkang.

"Pada waktu sama, Ahli-ahli Parlimen ini dapat terus menggiatkan perkhidmatan dan perkara yang perlu dilakukan kepada pengundi mereka," kata Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada Bernama.

Kesemua empat Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli).

Malah, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan, lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang dijangka akan mengekori jejak langkah sama dalam masa terdekat.

Sementara itu Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi bersetuju dengan perkembangan terbaru ini, menyifatkan segala propaganda dan persepsi dimainkan sesetengah pihak kononnya kerajaan tidak stabil, adalah tidak benar.

"Saya kira pernyataan sokongan ini juga sesuatu yang ikhlas daripada seorang wakil rakyat yang prihatin terhadap kawasan diwakili dan tidak bersifat mementingkan diri sendiri," katanya.

Beliau juga percaya 'habuan' yang didakwa diberikan kepada Ahli Parlimen yang memberi sokongan itu, sebenarnya berbentuk peruntukan kepada kawasan diwakili, supaya dapat digunakan untuk kesenangan penduduk di kawasan mereka.

"Bukannya untuk Ahli Parlimen itu sendiri, sebab mereka sudah dibayar gaji, elaun dan pelbagainya.

"Tetapi kena ingat walaupun peruntukan tidak diberikan kepada Ahli Parlimen, ada agensi kerajaan pusat yang sebenarnya boleh juga memberikan mekanisme bantuan kepada rakyat," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Nur Aida Kipli percaya sokongan itu diberikan dengan kerelaan hati untuk memastikan kepentingan rakyat yang diwakili serta menyokong untuk pembangunan negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak itu berkata keputusan ini juga sudah pasti difikir 'masak-masak', memandangkan ia sudah tentu mempunyai implikasi terhadap kedudukan mereka di dalam parti.

"Sokongan ini juga pastinya berasaskan kepada inisiatif kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di negara ini secara keseluruhannya.

-- BERNAMA