KERAJAAN hari ini telah mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepas am bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan semua pihak mengharapkan peratusan keluar mengundi tinggi pada hari pengundian 19 November nanti, kami turut menjalankan kaji selidik mengenainya di pelbagai platform Astro AWANI.

Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi -  Adakah anda akan keluar mengundi Sabtu ini?

Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Isnin.

Daripada 1,100 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 89 peratus berkata mereka akan keluar mengundi, lima peratus berkata tidak dan enam peratus berkata tidak pasti.

Keputusan Suara Malaysia hari ini

Mengangkat tema "Malaysia Memilih" sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.

Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.

Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.

Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.

Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.