[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Bebas dalam Kes SRC RM27 Juta – Ikuti Perkembangan di Sini
POLITICS

Sudah-sudahlah takutkan rakyat Sarawak - Fadillah Yusof

Syafik Shukri Jalil 03/03/2020 | 06:42 MYT
Mungkin DAP dan PKR lupa, merekalah yang pernah lama bekerjasama dan bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat - FOTO: Bernama
Pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelas iaitu berdiri sebagai entiti politik tunggal tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana gabungan, tegas Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (2 Mac), berkata demikian bagi menjawab dakwaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa kononnya keputusan dibuat GPS menunjukkan gabungan itu menyokong PAS dan UMNO.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menyifatkan dakwaan DAP dan PKR itu dibuat sebagai cubaan untuk menakutkan rakyat Sarawak.
BACA: Sokongan GPS kepada Muhyiddin bukan untuk lobi jawatan Kabinet
“Mungkin DAP dan PKR lupa, merekalah yang pernah bekerjasama (untuk tempoh) lama dan bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, sedangkan GPS pula tetap entiti politik di Sarawak yang tidak menyertai mana-mana gabungan,” ujarnya menerusi kenyataan berkenaan.
Tambah beliau, kebuntuan politik yang melanda minggu lalu juga berpunca daripada perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai dua parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata GPS menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mencalonkan nama Perdana Menteri.
Katanya, kini Perdana Menteri baharu telah pun dipilih dan setiap pihak perlu patuh dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang membuat keputusan berdasarkan Perlembagaan Negara.
#DAP #Datuk Seri Fadillah Yusof #Gabungan Parti Sarawak GPS #Malaysia2020 #Perdana Menteri #PKR #Tan Sri Muhyiddin Yassin