KOTA BHARU: Sumpah mubahalah bagi tujuan membuktikan sesuatu boleh memakan diri sendiri, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya, seperti yang diperjelaskan oleh mufti-mufti negeri, sumpah mubahalah tiada dalam konteks pembuktian.

"Kesan daripada sumpah mubahalah itu kita tak tahulah, cuma seperti yang disebut oleh mufti-mufti, sumpah mubahalah ini tak ada sebenarnya. Mufti pun dah sebut, tapi apabila orang buat, kita nak kata macam mana?

"Dalam Islam, ulama pun pesan supaya kita jangan mudah bersumpah, kalau tak kena gaya, boleh makan diri. Jadi, sebab itu kena hati-hati kalau kita nak bersumpah.

"Sebab itu, bacalah dalam tulisan-tulisan pandangan ulama, mereka tidak menggalakkan kita bersumpah. Sebab sumpah ini (boleh) memakan diri.

"Mungkin bukan hari ini, tapi suatu masa (nanti) kita tak tahu. Sebab, banyak sejarah dan kejadian sebelum ini. Ada yang dimakan sumpah. Sebab itu kena berhati-hati," katanya.

Mohd Amar berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Wisma Darulnaim, di sini, semalam, ketika diminta pandangannya berhubung sumpah mubahalah. 

Katanya, kesan yang mungkin timbul akibat daripada melafazkan sumpah mubahalah itu tidak diketahui dengan sebenarnya kerana ia merupakan takdir Allah.

Namun, beliau meminta agar semua pihak berhati-hati dengan perbuatan sumpah itu.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru dengan membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid menjelang prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Persekutuan.

Dalam lafaz sumpahnya, Najib antara lain mengulangi penafian beliau terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu Mohd Amar turut memaklumkan, sudah menjadi amalan Pas dalam pemilihan calon pilihan raya dengan mengetengahkan 30 peratus muka baru.

Walaupun Pas tidak menetapkan kuota 30 peratus calon wanita atau pemuda, namun kebiasaanya calon baru itu terdiri dari Muslimat dan juga Pemuda yang berpotensi menang dan diterima pengundi di satu-satu kawasan.

Tambahnya, Pas juga sedang menjalankan kajian berhubung 'mood' pengundi dan ahli-ahli Pas tentang pencalonan.

"Baru-baru ini kita buat apa yang kita panggil kajian awal pilihan raya. Iaitu, kita minta pandangan daripada cawangan-cawangan di seluruh negeri, siapa orang yang mereka rasa sesuai untuk dicalonkan?

"Selepas itu, kita akan proses yang lain pula. Proses kajian itu biasanya kita buat sampai dua atau tiga kali, sebelum kita putuskan siapa yang patut jadi calon," katanya.