Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan cadangan supaya sistem sistem dan proses pemilihan calon pilihan raya yang menggunakan first-past-the-post (FPTP) yang sedang diamalkan ketika ini dikaji semula.

Malah, Ketua Pemuda Bersatu itu juga mengesyorkan satu jawatankuasa pemilihan parlimen (parliamentary select committee) perlu dibentuk untuk memastikan isu ini dapat diteliti dengan menyeluruh dan melibatkan semua parti-parti yang ada.

“Saya setuju, tetapi apa yang paling mustahak adalah untuk satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melihat perkara ini dengan menyeluruh.

“Penubuhan jawatankuasa pemilihan parlimen ini adalah cara terbaik, kerana kita mahu permuafakatan politik untuk kita bergerak ke hadapan,” kata Syed Saddiq selepas menghadri Perhimpunan bulanan Kementerian Belia dan Sukan di sini, pada Selasa.

Menurut Syed Saddiq, sistem FPTP ini wajar dikaji bagi memastikan suara demokrasi yang menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Kita ambil kira semua pihak pada masa setiap undi itu seimbang, kita keluarkan isu gerrymandering dan penipuan.

“Oleh itu, saya katakan untuk tahu jika sistem ini baik, kita tubuhkan jawatankuasa ini, bukan sesetengah pihak sahaja yang buat keputusan. Jawatan kuasa ini adalah cara terbaik untuk kita mencari titik pertemuan dalam isu ini,” katanya.

Pada Isnin, cadangan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengkaji semula FPTP mendapat sokongan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan.

Kata Wan Saiful, sistem FPTP yang digunakan di Malaysia ketika ini tidak melahirkan persaingan yang sihat jika wujud lebih daripada dua parti.

Malaysia juga kata Saiful boleh belajar sistem pilihan raya dari negara lain.

Selain FPTP, sistem yang berteraskan Proportional Representation (PR) turut dicadangkan kerana dilihat adalah lebih adil dalam situasi dimana banyak parti politik di Malaysia.

Sistem PR juga akan membolehkan parti yang kecil sekalipun mendapat peluang yang adil.