SHAH ALAM: Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan seorang pemimpin muda yang menunjukkan sikap berani kerana tidak pernah menggunakan jawatan dan hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan untuk mempengaruhi prosiding mahkamah.

Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia berbeza berbanding pemimpin senior lain apabila berdepan dengan situasi sama yang tersabit kesalahan kes jenayah kolar putih.

“Sesetengah pemimpin sanggup menggunakan pelbagai helah untuk cuba melepaskan diri mereka dari menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Syed Saddiq tak bacul seperti pemimpin tersebut, beliau memilih meniti proses undang-undang mengikut tertib dan aturan yang sepatutnya,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bekas Presiden Muda itu dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda sebanyak RM10 juta atas kesalahan tersebut.

Tambah Zuraida, setelah mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, hakim membuat keputusan seadil mungkin dalam perbicaraan berkenaan.

“Masih terdapat ruang Syed Saddiq mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini dan saya berharap beliau akan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Saya berharap Syed Saddiq terus tabah dan teruskan perjuangan untuk membela rakyat khususnya bagi kawasan Parlimen Muar yang merupakan tempat beliau wakili,” ujarnya. - Sinar Harian