Setiap parti politik akan merasai keuntungan dan kerugian jika syor persempadanan semula dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Professor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin bagaimanapun menjelaskan, perkara itu menjadi pertikaian banyak pihak kerana hanya aspek kerugian ditekankan parti politik berkenaan.

"Saya sudah perhatikan apa yang DAP, UMNO dan PKR cakap iaitu mereka tidak akan sebut apa yang untung. Tiada parti yang menyebut untung, semua sebut rugi, jadi pada saya complain DAP tu sah (legitimate) sama juga seperti lain, apa yang baharu complain ini, itu yang kena soal. Kalau dia complain jalan tak turap itu baru yang sebenarnya, maknanya kepentingan rakyat diutamakan," katanya kepada media selepas Forum Media Kebangsaan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini hari ini.

Menurut Shamsul Amri, setiap parti ketika ini dilihat lebih banyak memikirkan mengenai soal kemenangan susulan syor SPR berkenaan.

"Setiap parti ada kriteria masing-masing yang ada keuntungan mereka, bukan hanya parti pembangkang, UMNO juga. Kalau UMNO sendiri complain mesti ada masalah dalam proses itu," ujar beliau.

Bagaimanapun, setiap protes dan pertikaian dilakukan disifatkan sebagai perkembangan yang sihat selaras dengan proses demokrasi di negara ini.

Amerika Syarikat dan Jepun katanya, masih mengamalkan persempadanan semula untuk disesuaikan dengan demografi.

"Ada kawasan di Sarawak 23,000 orang di Parlimen, di Kuala Lumpur 150,000 orang, jadi memang akan timbul masalah. Jadi, apabila timbul persempadanan semula itu, macam mana nak lari, ini isu dia," tambahnya.

Dalam pada itu beliau juga berharap mana-mana parti politik agar melakukan kajian yang terperinci terlebih dahulu mengenai syor persempadanan semula berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas.