KUALA KANGSAR: Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kangsar menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk menamatkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Ketuanya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, ia selaras keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang konsisten dengan kehendak kolektif ahli akar umbi di seluruh negara.

Menurutnya, keputusan itu amat ditunggu-tunggu akar umbi UMNO di seluruh negara, termasuk di Kuala Kangsar kerana kegagalan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), terutamanya perkara melibatkan kebajikan rakyat menghadapi COVID-19 serta pengurusan vaksin dan imunisasi yang terlalu perlahan.

“Kami percaya bahawa UMNO tidak lagi perlu untuk berterusan menanggung kegagalan demi kegagalan yang dipamerkan oleh Muhyiddin yang dilihat mengambil kesempatan di kala kesulitan ini untuk memperkukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Kami juga percaya bahawa keputusan MKT UMNO bertujuan untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus diurus secara tidak berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat MKT UMNO malam tadi mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta merta.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksana dengan memuaskan.

Mustafa Shah yang juga Pemuda UMNO Malaysia berkata, puncak kepada kegagalan kerajaan PN juga adalah kempen bendera putih yang tular baru-baru ini akibat daripada rakyat yang mengalami kesempitan hidup yang keterlaluan.

Menurutnya, ia memperlihatkan berbilion-bilion pakej bantuan yang dirangka oleh kerajaan tidak sampai kepada golongan ini, malah rakyat dibebani dengan pelbagai polisi, peraturan dan birokrasi.

“Terima kasih kepada Presiden dan seluruh ahli MKT kerana mendengar serta menghormati suara akar umbi UMNO dan seluruh rakyat Malaysia yang kecewa terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PN yang amat lemah.

“Semoga dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu secara sementara berupaya untuk menyusun semula agenda kebajikan rakyat dan menangani COVID-19 dengan memastikan proses vaksinasi disegerakan,” ujarnya.