KUALA LUMPUR:Parti-parti politik perlu duduk semeja dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyediakan rangka tindakan (blueprint) perjalanan pilihan raya semasa pandemik.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata rangka tindakan tersebut perlu adil dan sesuai seiring penularan COVID-19 di negara ini.

Ujarnya, prosedur operasi standard (SOP) tersebut akan diguna pakai sepanjang proses pilihan raya tanpa sebarang pindaan atau pertukaran dilakukan semasa kempen sedang berlangsung.

"Contohnya, penjarakan fizikal. Adakah ia betul-betul satu meter atau bagaimana? Kalau ceramah, berapa orang dibenarkan?

"Kalau SOP diberi secara subjektif, contohnya seperti bergantung kepada kawasan, semestinya orang akan tafsirkan SOP itu berbeza-beza.

"Parti politik tatkala di tengah-tengah kempen bukanlah entiti yang paling objektif untuk mentafsirkan SOP yg subjektif seandainya ia subjektif.

"Soal ziarah rumah atau ziarah pengundi. Bagi saya, SOP perlu kekal sepanjang kempen dan bukan ditengah-tengah kempen SOP itu berubah.

"Sekali lagi saya tegaskan, parti politik bukan entiti yang terbaik untuk mentafsirkan perubahan SOP pada saat ia kalau berlaku dalam tengah-tengah kehangatan kempen," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada 23 September lalu selepas pulang dari Sabah dalam siri kempen pilihan raya di negeri itu.

Shahril pada masa sama amat mengharapkan kesediaan semua pihak supaya tidak menunding jari dan mengakui ada kelemahan di setiap peringkat.

"Kita kena mengakui ada kelemahan di setiap peringkat, baik di peringkat individu, yang lebih utama peringkat sistem.

"Kelemahan di peringkat sistem itu yang perlu kita perbaiki kerana di situ tindakan dan perubahan boleh dilakukan," katanya.

Beberapa pemimpin politik serta jentera pilihan raya disahkan positif COVID-19 sebelum ini termasuk calon Barisan Nasional, Sufian Abdul Karim dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.