Antara faktor utama penyumbang majoriti besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, 16 Nov lepas, adalah kerana faktor calonnya iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng itu sendiri.

Menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, dapatan itu diperolehi berdasarkan keputusan kaji selidik sebelum dan selepas PRK itu diadakan.

Ibrahim berkata, pesona dan khidmat bakti Wee, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nenas selama sepenggal, serta Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, nyata menepati tahap kepuasan masyarakat di situ.

“Pengundi di sekitar Tanjung Piai sangat konsisten. Kaji selidik pertama, kaji selidik kedua, agak konsisten. Wee Jeck Seng memperolehi kadar penerimaan yang sangat tinggi. Pengundi Cina dan juga Melayu sangat berpuas hati dengan beliau.

“Jadi Wee mendapat kadar penerimaan setinggi 74 peratus. Walaupun tidak semestinya kesemua yang menyertai kaji selidik ini mengundi, tetapi pada peringkat peribadi, beliau bukan faktor negatif. Tetapi Wee ini adalah satu kelebihan,” katanya sebagai panelis di Diskusi Tanjung Piai anjuran bersama Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (CENT-GPS) dan Z Group Consuting, di ibu negara semalam.

Diskusi Pasca PRK Tanjung Piai: Fakta, Dimensi & Dinamik itu turut membariskan panelis terkemuka seperti Pengarah Urusan ZCG, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Dr Choong Pui Yee daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (Insap), dan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid.



PRK Tanjung Piai menyaksikan Wee menewaskan lima calon lain termasuk wakil Pakatan Harapan, Karmaine Sardini dengan majoriti yang besar, iaitu sebanyak 15,086 undi.


Sementara itu, Hamidin menegaskan, faktor Wee itu sendiri membolehkan peralihan besar pengundi Cina yang rata-rata memihak kepada Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Umum lepas.

“Berdasarkan ramalan kami, Barisan Nasional akan menang selesa. Dan seperti yang anda lihat, peralihan undi kaum Cina merupakan faktor utama. Untuk pengundi Melayu, peralihan itu hanya sekitar 5 peratus. Jadi ia bukan mengenai Melayu menentang Pakatan Harapan.

“Secara asasnya, pengundi Melayu yang menyokong Pakatan Harapan (pada PRU lepas) lebih kurang sama. Tetapi bagi kaum Cina, mereka memberi mesej - Ada sesuatu yang tidak kena dengan Kerajaan Pakatan Harapan, anda perlu lakukan sesuatu,” katanya lagi.


Walaupun begitu, Hamidin berkata, keputusan itu tidak bermaksud ia boleh mencerminkan keadaan sebenar sewaktu pilihan raya umum akan datang, ekoran dinamika politik negara ini yang kerap berubah.