KUALA LUMPUR: Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Mohd Izani Mohd Zain berpendapat bahawa rakyat mudah dimanipulasi dan dieksploitasi sekiranya tidak mendapat pendidikan yang baik dengan keadaan ekonomi yang stabil.

Katanya, keadaan sebegitu yang menyebabkan demokrasi di sesebuah negara itu tidak dapat berjalan dengan bersih dan dicemari dengan korupsi oleh politikus yang mementingkan diri sendiri.

Dua aspek itu menurut beliau adalah prasyarat untuk membangunkan demokrasi di mana-mana negara sekalipun.

“Jika kedua-dua perkara ini tidak ditangani dengan baik maka kondisi demokrasi sesebuah negara itu akan berhadapan dengan masalah.

“Sebab itu kalau dalam konteks ekonomi contohnya, bukan sekadar seseorang itu tak keluar mengundi kerana dia merasakan roti (kelangsungan hidup) itu lebih penting daripada kertas undi, tapi mungkin mereka boleh dimanipulasikan dgn politik wang.

“Ini berlaku di banyak negara bila keadaan ekonomi rakyat itu makin susah, mereka boleh dibeli oleh ahli-ahli politk untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Oleh kerana itu, beliau menyatakan kerisauannya terhadap tahap pengetahuan dan kesedaran anak muda negara ini pada hari ini, terutamanya yang sudah layak untuk mengundi, adalah masih rendah.

Dapatannya dari lawatan lapangan di Johor yang bakal melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini memperlihatkan ada anak muda yang tidak tahu pun yang mereka sudah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.

“Saya melihat kalau perkara ini berlaku dan tidak ada tindakan yang serius, kita khuatir mungkin akan wujud golongan putih yang tak ambil tahu, tidak cakna dengan sistem pilihan raya dan sebagainya

“Ini pastinya memberi cabaran baru kepada proses demokrasi melalui pilihan raya di negara kita, bagaimana kita ada satu kolam yang besar tapi tak dimanfaatkan,” jelasnya lagi.

Tonton Agenda AWANI Khas: Suburkan Demokrasi Negara pada Jumaat yang dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Agenda AWANI: Suburkan Demokrasi Malaysia