SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menzahirkan akur terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengarahkan supaya pembukaan ladang babi di negeri ini dihentikan sepenuhnya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya telah menerima titah tersebut dan komited melaksanakannya sebaik mungkin.
Advertisement
“Kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadan 2026 di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan bahawa Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar serta keresahan masyarakat.
Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, penternakan babi berisiko menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan, yang boleh menjejaskan sumber air bersih.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa Baginda turut menzahirkan kebimbangan meskipun kaedah penternakan moden mampu mengurangkan pencemaran, namun kosnya tinggi dan tiada jaminan sepenuhnya terhadap keselamatan alam sekitar.
Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menegaskan bahawa penternakan babi tidak wajar diteruskan sekiranya ia dibangunkan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan serta bantahan penduduk.
Beliau berkata kerajaan tidak menghalang penternakan babi, namun isu berkenaan perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti.