KUALA KANGSAR: Tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu mengelakkan rakyat dan negara menjadi mangsa kepentingan politik individu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia adalah tawaran yang cukup baik dan tidak ada sebab untuk pembangkang menolaknya.

Menurutnya, rakyat dan negara telah menjadi mangsa kepada perkara-perkara seperti lompat parti, seorang individu menguasai sepenuhnya negara sewaktu menjadi Perdana Menteri dan lain-lain.

“Saya rasa ini satu tawaran cukup baik. Pemulihan ekonomi kita panggil lah semua kerana macam kata keputusan yang dibuat nanti tak semestinya hanya keputusan berdasarkan kepada pandangan kerajaan, tapi juga pandangan daripada orang-orang biasa dan juga pandangan daripada pembangkang.

“Oleh kerana kita bersama-sama untuk memulihkan ekonomi maka tawaran itu adalah cukup baik kepada saya dan tidak ada sebab, yang saya tahulah, pembangkang menolak tawaran itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cawangan UMNO di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Nazri berkata, pelaksanaan Undi18  dalam tempoh terdekat yang ditawarkan juga membuktikan alasan mengatakan mereka belum matang tidak boleh diterima.

“Sebab contoh-contoh yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen yang dewasa juga tidak melambangkan kematangan sehinggakan DYMM Sultan Johor meminta supaya ahli-ahli wakil rakyat jangan menjadikan Dewan yang mulia sebagai sangkar beruk.

“Jadi saya rasa orang dewasa tak ada hak untuk komen yang muda tak matang kerana mereka sendiri pun tidak menunjukkan kematangan dalam politik,” ujarnya.

BACA: PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, tawaran dan komitmen kerajaan itu selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.