Tempoh masa bagi jawatan Perdana Menteri yang kini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, PH itu hanya mempunyai keputusan dan persetujuan bahawa selepas Tun Dr Mahathir, jawatan Perdana Menteri akan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PH tidak pernah membincangkan tempoh sama ada dua, tiga tahun dan sebagainya untuk Tun Dr Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri. Apa yang dipersetujui adalah selepas beliau, Anwar akan mengambil alih.

"Ini kerana, PH yakin, Tun Dr Mahathir dan Anwar saling memahami antara satu sama lain serta mereka adalah dua tokoh besar. Kedua-dua mereka dapat menentukan waktu terbaik bagi penggantian dan sebagainya," katanya.

BACA: Kekalkan Tun M jadi PM sepenggal cadangan yang baik - Mukhriz

BACA: Anwar akan rasa selesa bila ambil tugas PM daripada saya - Tun Mahathir


Beliau berkata demikian pada selepas mengadakan lawatan sempena sesi persekolahan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, Kuantan, Pahang pada Selasa.

Sementara itu, Berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Saifuddin berkata, Majlis Presiden PH akan bermesyuarat pada 4 Januari ini bagi menentukan parti yang akan bertanding pada PRK tersebut.

Namun, menurut Saifuddin, secara lazimnya PH akan memberi laluan kepada parti yang bertanding sebelum ini di kerusi itu dan sehingga kini, tiada permintaan parti-parti lain dalam gabungan untuk bertanding.