Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow menyelar kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa Manifesto BN menciplak sebahagian dasar Pakatan Harapan.

Teng berkata, Lim terlalu angkuh apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan BN telah membuat penyelidikan dan perancangan teliti berhubung 60 inisiatif yang ditawarkan melalui manifesto bertemakan 'Selamatkan Pulau Pinang' itu.

Beliau juga kesal apabila Lim turut mendakwa Manifesto BN yang dilancarkannya pada Ahad hanya sekadar bertujuan membeli undi rakyat.

Katanya, Setiausaha Agung DAP itu sendiri sepatutnya sedar bahawa Pakatan Harapan yang sebenarnya telah membeli undi rakyat apabila menawarkan pelbagai janji, termasuk bantuan wang RM100 kepada warga emas di negeri itu sebelum ini.

"Dia kata kita salin, tiru manifesto dia, kerana apa yang kita buat ialah untuk membeli undi.

"Kalau kita tiru manifesto dia dan dianggap sebagai beli undi, maknanya, apa yang telah dia laksana selama 10 tahun ini, membeli undilah.

"Kalau dia boleh beli undi, kita tak boleh beli undi? Dia nak nafikan itu? Jelas sekali ia bukan (membeli undi).

"Dalam kes kami, kami melihat kepada kebajikan rakyat. Ini (kenyataan Lim) seolah-olah menampar dirinya sendiri. Dia nak pertikaikan (manifesto BN) tetapi dia tampar mukanya sendiri," kata Teng.



Pada masa sama, Teng yang juga Pengerusi Gerakan negeri mempersoalkan mengenai pelan pembangunan Paradigma Pulau Pinang yang dilancarkan pada 2013 tetapi sehingga kini dakwanya tiada sebarang perkembangan.

Teng berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Gerakan di sini pada Selasa, mengulas kenyataan Lim pada Isnin.

Lim mendakwa beberapa teras dan inisiatif yang dijanjikan dalam Manifesto BN telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya.

Ia termasuk pemberian wang bantuan kepada warga emas dan pengecualian cukai pintu dan tanah.

Manifesto BN Pulau Pinang antara lain menjanjikan bantuan warga emas akan dinaikkan kepada RM300 setahun serta pengecualian bayaran cukai pintu dan cukai tanah untuk rumah kos rendah dan rumah kampung.