POLITIK
Tengku Zafrul keluar parti, UMNO teliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti - Azalina

Azalina (foto) berkata, langkah itu bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO telah meminta Biro Undang-Undang parti untuk meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang senator susulan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada parti Melayu itu.
Ringkasan AI
- UMNO telah mengarahkan Biro Undang-Undang parti untuk meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti susulan tindakan Tengku Zafrul keluar parti, bagi memastikan sebarang tindakan selanjutnya mematuhi undang-undang.
- Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa jawatan dalam Jemaah Menteri disandang atas mandat parti, bukan kapasiti peribadi, dan menekankan pentingnya kestabilan serta fokus kepada pembangunan negara.
- Tindakan Tengku Zafrul keluar UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR turut mendorong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meminta Perdana Menteri mengembalikan kuota tujuh menteri penuh kepada UMNO dalam Kabinet Persekutuan.
"Saya mengambil maklum keputusan Senator Tengku Zafrul untuk tidak lagi bersama parti. UMNO menghormati kebebasan setiap individu membuat pilihan politik.
"Namun perlu ditegaskan bahawa perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang adalah atas mandat parti yang diwakili, bukan atas kapasiti peribadi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Majlis Perpaduan, tetapi setiap menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.
Dalam masa sama, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menyeru ahli dan penyokong agar kekal fokus kepada pembangunan negara.
Tegas beliau, politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, dan ahli UMNO.
Tengku Zafrul berkata, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Susulan tindakan Tengku Zafrul itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar Perdana Menteri dapat mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan kepada UMNO.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami