KUALA LUMPUR: Semua pihak terutamanya ahli politik harus menghormati setiap keputusan yang akan diputuskan esok terutamanya sekiranya ada nama dipilih bagi jawatan Perdana Menteri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau memilih untuk meletakkan jawatan.

Penganalisis Politik, Prof Madya Sivamurugan Pandian berkata, keputusan itu juga memberi petanda wujudnya keabsahan kepada pemimpin yang dipilih esok dan sepatutnya tidak lagi dibangkitkan isu mengenainya.

“Tidak lagi wujud krisis keabsahan tetapi pembangkang sekiranya boleh menerima keputusan itu, bermakna mereka juga akan diiktiraf agar mampu memainkan peranan yang besar bukan sahaja di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN), ia juga dalam Jawatankuasa Khas Parlimen.

BACA: Muhyiddin akan letak jawatan esok?

“Saya rasakan, banyak yang boleh dimainkan dan kerajaan harus menghulur tangan kepada pembangkang supaya mereka juga boleh terlibat secara langsung.

“Soal hilang kepercayaan, soal tiada sokongan boleh dihentikan jika kedua-dua pihak boleh memainkan peranan yang saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.


Politik | Siapa calon ganti jika PM letak jawatan?

Tambahnya, beliau menjangkakan perkara sama seperti pertukaran kerajaan pada tahun lepas akan berlaku esok namun untuk bergerak ke hadapan, semua ahli politik perlu mencari titik tengah bagi menyelesaikan kemelut politik negara.

“Apabila ada satu pelantikan, akan ada satu lagi pihak yang sentiasa bersedia untuk merebut kuasa. Adakah kita mahu menentukan agenda rakyat atau agenda kuasa ketika kita sedang berhadapan krisis nasional yang lain.

“Dalam soal ini, kematangan politik itu penting. Cari satu titik tengah yang memungkinkan kedua-dua pihak boleh berkompromi seketika, sekurang-kurangnya.

BACA: Ismail Sabri, Hamzah Zainudin hadir mesyuarat tergempar - Laporan

“Banyak yang kita perkatakan gencatan politik kerana selama ini dibebani tanggungjawab itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sekiranya peletakan jawatan itu berlaku, adakah tidak mungkin kita melihat satu lensa baru agar titik tengah itu memungkinkan kita mengetepikan krisis secara bersama.

“Saya rasa selepas ini ia harus menjadi tanggungjawab bersama, pembangkang boleh memainkan peranan dengan fungsi lebih baik, kerajaan juga jalankan fungsi dengan lebih baik. Tidak lagi melihat kepada pertembungan politik,” ujarnya lagi.