[TERKINI] PRN Sabah: 'Black Wave' pencabar utama parti besar, sasar menang 8-12 kerusi - Verdon
![[TERKINI] PRN Sabah: 'Black Wave' pencabar utama parti besar, sasar menang 8-12 kerusi - Verdon [TERKINI] PRN Sabah: 'Black Wave' pencabar utama parti besar, sasar menang 8-12 kerusi - Verdon](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51763742862_PRNSabahVerdonBa.jpg)
Verdon berkata 'Black Wave' lahir daripada penerimaan rakyat terhadap pendekatannya yang lantang memperjuangkan hak-hak rakyat dan hak negeri Sabah. - Gambar Facebook Verdon Bahanda
KUDAT: Datuk Verdon Bahanda menyifatkan gerakan 'Black Wave' atau Gelombang Hitam sebagai, antara pencabar utama kepada parti-parti besar yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ahli Parlimen Kudat yang mengetuai gerakan itu berkata, ia susulan peningkatan ketara sokongan pengundi terutama dalam kalangan anak muda dan atas pagar yang mahukan kepimpinan yang bersih dan benar-benar mewakili suara mereka.
"Setiap hari peningkatan dari segi penonjolan dan tarikan penyokong-penyokong, mahupun rakyat pada keseluruhannya kepada tawaran kita melalui gerakan 'Black Wave' ini.
"Ia semakin menjadi tarikan ramai dan saya nampak kita adalah antara pencabar utama kepada parti-parti besar yang tengah bertanding sekarang ini," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai lokasi yang menunjukkan lonjakan sokongan ketara, Verdon berkata, perkembangan itu dapat dilihat di hampir semua kawasan yang ditandingi calon Gelombang Hitam, termasuk kawasan-kawasan bandar dan pedalaman.
Begitupun, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor itu tidak mahu mendabik dada, sebaliknya yakin gerakan itu memenangi sekurang-kurangnya lapan hingga 12 daripada 17 kerusi yang ditandingi mereka.
"Saya jangkakan di Parlimen Kudat ini sendiri, kita akan mendapat tiga kerusi yang kita tandingi iaitu DUN Banggi, Bengkoka serta Tanjong Kapor, dan juga beberapa kawasan yang lain seperti Malalap dan Inanam.
"Kawasan-kawasan bandar yang didiami ataupun diduduki oleh masyarakat yang terbuka fikirannya. Begitu juga dengan calon-calon kita di sebelah Tawau iaitu Balung serta Kukusan (Parlimen Kalabakan). Insya-Allah saya menjangkakan kita akan mendapat sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kerusi dalam PRN Sabah," jelas beliau.
Gelombang Hitam sedia jadi 'kingmaker'
Verdon berkata, gerakan itu menyedari hakikat bahawa bertanding di 17 kerusi tidak memungkinkan mereka membentuk kerajaan sendiri.
Namun, beliau yakin jumlah sasaran kemenangan lapan hingga 12 kerusi sudah cukup untuk menjadikan 'Black Wave' sebagai pemain utama dalam proses pembentukan Kerajaan Negeri kelak.
Beliau menegaskan, matlamat 'Black Wave' ialah untuk berada dalam Kerajaan Negeri sebagai tulang belakang serta memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran yang bakal dibentuk adalah bersih, bertanggungjawab dan benar-benar mewakili suara rakyat.
"Ya, ini adalah merupakan salah satu hala tuju kita (menjadi 'kingmaker') iaitu kita sedar bahawa bertanding 17 kerusi itu tidak akan membolehkan kita untuk membentuk kerajaan.
"Selain itu, tidak ada mana-mana parti akan mendapat majoriti mudah iaitu 37 kerusi, dan pihak yang paling senang untuk berunding adalah kami yang menang dalam gerakan Gelombang Hitam," kata Verdon lagi.
Menjelaskan asas pembentukan gerakan itu pula, Verdon berkata 'Black Wave' lahir daripada penerimaan rakyat terhadap pendekatannya yang lantang memperjuangkan hak-hak rakyat dan hak negeri Sabah.
Menurutnya lagi, meskipun kemunculan 'Black Wave' pada awalnya dilihat janggal oleh sesetengah pihak, persepsi itu berubah sepenuhnya apabila rakyat melihat ketegasan dan keikhlasan perjuangan gerakan berkenaan.
"Saya melihat bahawa tidak ada lagi berlaku tanggapan bahawa warna hitam ini merupakan satu warna kegelapan.
"Akhirnya sekarang ini kita diterima sebagai warna hitam ini adalah satu lambang keberanian untuk menyongsong arus demi mempertahankan maruah, prinsip dan ideologi, yang mana sepatutnya pemimpin ini menjadi suara di peringkat akar umbi, ataupun suara rakyat yang sebenar," tambah adik kepada Datuk Wetrom itu.
Verdon antara dua calon Bebas yang mencipta kejutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sabah pada November 2022 apabila menang kerusi Parlimen Kudat.
'Black Wave' tawar 10 teras kepimpinan
Verdon berkata 'Black Wave' tidak menawarkan manifesto seperti parti-parti lain, sebaliknya mengemukakan 10 teras kepimpinan yang dianggap lebih relevan dalam memastikan suara rakyat dikembalikan kepada tempatnya.
Menurut beliau, teras pertama ialah mengembalikan kuasa sebenar kepada rakyat, memandangkan semua calon 'Black Wave' tidak terikat dengan mana-mana arahan pihak luar dan bebas menyuarakan kepentingan pengundi masing-masing.
Selain itu melaksanakan autonomi melalui enakmen dan penubuhan badan tindakan khas bagi menyelaras dasar ekonomi dan tanggungjawab pentadbiran.
"Kita akan berusaha untuk mendapatkan kerjasama daripada semua komponen yang berada di dalam kerajaan, yang akan ditubuhkan kelak supaya transformasi DUN Sabah itu sendiri akan kita perkukuhkan.
"Ini termasuklah berkenaan bagaimana untuk mendapatkan hak-hak kita dan menjadi kuat seperti mana wilayah jiran kita iaitu Sarawak," ujarnya.
Tujuh teras lagi adalah:
- Anti Rasuah
- Hak Anak Negeri
- Hapus Birokrasi
- Merit dan Pelaburan
- Belia Sabah
- Keperluan Asas
- Kerjasama Borneo
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 November ini sebagai hari undi awal, manakala 29 November sebagai hari mengundi dengan lebih 1.7 juta pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN Sabah ke-17.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

