[TERKINI] PRN Sabah: Pembangunan asas, isu tanah dan agenda belia jadi fokus Verdon Bahanda di Tanjong Kapor
![[TERKINI] PRN Sabah: Pembangunan asas, isu tanah dan agenda belia jadi fokus Verdon Bahanda di Tanjong Kapor [TERKINI] PRN Sabah: Pembangunan asas, isu tanah dan agenda belia jadi fokus Verdon Bahanda di Tanjong Kapor](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81763700290_tbGelombangHitamV.jpg)
Verdon percaya perancangan ekonomi seperti pengaktifan pelabuhan, taman perindustrian dan pengembangan sektor pelancongan akan memberi faedah langsung kepada golongan muda. - Gambar Astro AWANI
KUDAT: Pembangunan ekonomi dan penyelesaian isu asas rakyat menjadi antara agenda utama Datuk Verdon Bahanda sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, akan datang.
Ahli Parlimen Kudat itu berkata, Tanjong Kapor merupakan antara daerah termiskin di Malaysia, justeru pembangunan infrastruktur asas serta pembukaan peluang ekonomi menjadi keutamaan dalam perancangannya.
Menurut Verdon, antara usaha yang telah diketengahkan ialah cadangan membuka semula Pelabuhan Kudat bagi menggerakkan aktiviti perdagangan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan mewujudkan taman perindustrian baharu di Kudat yang dibawa kepada kerajaan Sabah tahun lalu telah menerima kelulusan Kabinet, sebelum ini.
"Saya harap supaya kehadiran dan kemenangan saya nanti di Tanjong Kapor akan memperkukuhkan gerakan untuk mempercepatkan semua perancangan yang boleh menaikkan ekonomi.
"Transformasi ekonomi secara besar-besaran di Kudat atau DUN Tanjong Kapor ini berlaku dalam pentadbiran saya," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Verdon yang bertanding atas tiket Bebas menjangkakan dalam tempoh dua tahun pertama, sebahagian projek yang telah dirancang dapat dimulakan, sekali gus memberi ruang kepada pertumbuhan peluang perniagaan dan pekerjaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, pembangunan belia turut menjadi fokus utama, memandangkan 60 hingga 70 peratus golongan muda di kawasan itu terpaksa berhijrah ke Semenanjung dan luar negara untuk mencari pekerjaan.
Verdon percaya perancangan ekonomi seperti pengaktifan pelabuhan, taman perindustrian dan pengembangan sektor pelancongan akan memberi faedah langsung kepada golongan muda.
Menurutnya lagi, usaha memperkukuhkan organisasi belia turut dilaksanakan lebih awal melalui penubuhan sekitar 20 kelab belia sejak tahun lalu, membolehkan golongan itu menerima pelbagai geran dan bantuan kerajaan.
"Ini bukan sekadar perancangan, tetapi pelaksanaan sebenar yang sudah bermula. Insya-Allah ia memberi manfaat jangka panjang kepada belia Tanjong Kapor," katanya.
Isu tanah setinggan: Pewartaan jadi tindakan pertama
Menyentuh isu status tanah kediaman di Kampung Tanjong Kapor, Verdon melahirkan rasa kesal kerana lebih 90 peratus kampung-kampung persisiran pantai masih berstatus tanah kerajaan sejak lebih 60 tahun lalu, menyebabkan penduduk tidak layak menerima bantuan pembangunan kerajaan.
Beliau berjanji bahawa tindakan pertamanya selepas memperoleh mandat ialah mengarahkan Mahkamah Anak Negeri menyelesaikan dokumentasi yang diperlukan bagi menggazetkan kampung-kampung persisiran sebagai perkampungan rasmi.
"Ini menyebabkan terbantut pembangunan khususnya untuk membangunkan semula kawasan-kawasan ini disebabkan oleh pendudukan di kawasan kampung-kampung ini merupakan masih rumah-rumah setinggan.
"Inilah yang akan menjadi teras utama kepimpinan saya di kawasan ini supaya tindakan pertama saya melalui arahan saya kepada Mahkamah Anak Negeri nanti untuk menyelesaikan semua dokumentasi yang diperlukan bagi tujuan penggazetan kawasan-kawasan perkampungan di persisiran pantai ini selepas saya menang nanti.
"Selepas itu barulah kita boleh memulakan langkah untuk menyusun atur apa keperluan-keperluan di kawasan ini. Sebab kita tahu tanpa penggazetan yang sah dan tanpa pewartaan yang sah, tidak mungkin kita dapat bantu melalui peruntukan-peruntukan kerajaan," katanya.
Dalam PRN Sabah ke-17, Verdon yang menggerakkan Gelombang Hitam atau 'Black Wave' berdepan saingan 11 penjuru.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

