[TERKINI] PRN Sabah: Dr Andi garis empat tonggak pembangunan Tanjung Batu, yakin mampu beri saingan di kubu BN
![[TERKINI] PRN Sabah: Dr Andi garis empat tonggak pembangunan Tanjung Batu, yakin mampu beri saingan di kubu BN [TERKINI] PRN Sabah: Dr Andi garis empat tonggak pembangunan Tanjung Batu, yakin mampu beri saingan di kubu BN](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763779612_DrAndiMdShamsuree.jpg)
Dr Andi tekad untuk memastikan golongan belia di Tanjung Batu dapat berdikari melalui pendidikan dan kemahiran yang relevan serta boleh dipasarkan. - Gambar Astro AWANI
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, tampil dengan empat tonggak utama sebagai asas perjuangannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dr Andi berkata, aspirasi beliau bertanding di Tanjung Batu lahir daripada hasrat untuk memastikan kawasan itu menjadi lebih maju dan sejahtera, selaras dengan keperluan masyarakat setempat.
“Empat tonggak utama perjuangan saya bermula dengan memastikan masyarakat sihat kerana masyarakat sihat adalah masyarakat produktif.
“Yang kedua, saya mahu memastikan dapurnya sihat, khusus kepada ibu-ibu kita, menggambarkan ekonomi penduduk yang baik sehingga setiap malam mereka mampu menyediakan makanan untuk keluarga,” katanya.
Selain itu, sebagai calon muda, Dr Andi tekad untuk memastikan golongan belia di Tanjung Batu dapat berdikari melalui pendidikan dan kemahiran yang relevan serta boleh dipasarkan.
Tonggak seterusnya ujarnya, adalah memberi fokus kepada usaha memperkasakan infrastruktur asas di setiap kampung, termasuk isu jambatan yang belum dikonkrit sepenuhnya, jalan berlubang dan sistem perparitan yang tidak mencukupi.
Ketika ditanya mengenai peluang GRS menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Tanjung Batu, Dr Andi mengakui persaingan dijangka sengit, terutama berdepan calon BN.
“Ini adalah kubu kuat BN. Memang saya nampak persaingan sangat sengit terutamanya daripada calon BN. Namun kita masih ada beberapa hari lagi berkempen. Saya akan terus turun memberikan kefahaman kepada rakyat Tanjung Batu.
“Insya-Allah, dengan bantuan jentera dan respons yang saya terima sekarang, kita akan beroleh kemenangan pada 29 haribulan,” katanya.
Pada PRN kali ini, Dr Andi bakal berdepan empat calon lain iaitu Ayuf Abd Rahman (Warisan), Ahmad Dullah (PN), Samasuddin Yusop (BN) dan Zanudin Mingo (PIS).
Pada PRN ke-16 lalu, kerusi Tanjung Batu dimenangi Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Ahli Parlimen Kalabakan mewakili BN dengan 4,728 undi, mencatat majoriti selesa 2,123 undi dalam saingan enam penjuru.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

