Selangor terus menjadi destinasi pilihan pelabur

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap ketika hadir ke Malam Penganugerahan Pelaburan Selangor 2023/2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. - Foto Invest Selangor
SHAH ALAM: Penganjuran Selangor Investors Appreciation Awards 2023–2024, yang menghimpunkan syarikat tempatan dan antarabangsa selain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, menonjolkan peranan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama negara dan pintu gerbang ASEAN.
Ringkasan AI
- Penganjuran Selangor Investors Appreciation Awards 2023-2024 menonjolkan peranan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama negara serta pintu gerbang ASEAN.
- Anugerah tersebut mengiktiraf pelabur yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, menunjukkan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen pelabur, dan berperanan sebagai platform jaringan strategik untuk pemain industri.
- Selangor, dengan kecekapan agensi seperti Invest Selangor Bhd, menawarkan kelebihan infrastruktur, ekosistem perindustrian matang, dan kejelasan dasar serta perancangan fiskal yang menarik pelabur.
Anugerah penghargaan tersebut berperanan mengiktiraf pelabur yang telah lama melabur di Selangor serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Pengiktirafan ini juga menjadi isyarat jelas bahawa kerajaan negeri menghargai komitmen dan keyakinan komuniti pelabur terhadap daya saing Selangor.
Majlis itu turut berfungsi sebagai platform jaringan strategik yang menghimpunkan pemain industri daripada pelbagai sektor utama.
"Kehadiran syarikat baharu dan sedia ada membuka ruang kerjasama, perkongsian teknologi serta peluang rantaian bekalan yang lebih luas di seluruh rantau.
"Selangor menawarkan kelebihan asas yang kukuh sebagai destinasi pelaburan daripada infrastruktur yang tersusun dan berhubung baik, hinggalah kepada ekosistem perindustrian yang matang," tambahnya.
Kecekapan agensi seperti Invest Selangor Bhd misalnya memudahkan urusan pelabur, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses membuat keputusan perniagaan.
Pada masa ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan bakal melancarkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) tidak lama lagi.
Dokumen perancangan lima tahun ini memperincikan inisiatif, projek berpotensi serta kerangka dasar yang bakal memberi hala tuju jelas kepada pelabur dalam merancang komitmen modal dan operasi jangka panjang mereka di Selangor.
Ng menjelaskan bahawa kejelasan dasar dan perancangan fiskal yang teratur menjadi antara faktor utama pelabur memilih Selangor berbanding lokasi lain.
Penganjuran anugerah penghargaan ini melengkapkan usaha tersebut dengan menampilkan kisah kejayaan syarikat yang telah berkembang maju di negeri itu.
“Selangor ialah hab perniagaan pilihan bukan sahaja di Malaysia, malah untuk seluruh rantau ini.
"Pelabur boleh melihat sendiri bagaimana semakin banyak syarikat berimpak tinggi, bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan mereka,” tegas beliau.
Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris menegaskan bahawa Selangor berjaya mengharungi pelbagai cabaran ekonomi global, termasuk kesan pascapandemik COVID-19, ketegangan geopolitik yang berterusan, ketidaktentuan perdagangan serta tekanan inflasi global yang masih tinggi.
Beliau berkata, meskipun berdepan rintangan sebegitu besar, Selangor terus membuktikan daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri, sekali gus kekal menarik pelaburan berkualiti, mengekalkan pertumbuhan sektor perindustrian dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi Malaysia.
“Dengan sokongan dan keyakinan padu daripada para pelabur, Selangor berjaya mencatatkan kemajuan yang menggalakkan dari segi pertumbuhan pelaburan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
"Pada 2023, negeri ini merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM55.3 bilion walaupun berdepan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Antara yang hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi, Mohammad Fahmi Ngah.
Penganjuran Selangor Investors Appreciation Awards menutup tirai majlis dengan meraikan pelabur sedia ada, menarik minat pelabur baharu dan mengukuhkan naratif bahawa Selangor bersedia menjadi pintu masuk utama ke pasaran ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


