[TERKINI] PRN Sabah: Isu PPR, pewartaan kampung terus jadi keutamaan Nizam pertahan DUN Apas
![[TERKINI] PRN Sabah: Isu PPR, pewartaan kampung terus jadi keutamaan Nizam pertahan DUN Apas [TERKINI] PRN Sabah: Isu PPR, pewartaan kampung terus jadi keutamaan Nizam pertahan DUN Apas](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763859993_NizamTitinganApas.jpg)
Nizam akan mempertahankan kerusi DUN Apas untuk penggal ketiga dan bakal berdepan saingan daripada lima calon lain. - Foto Astro AWANI
TAWAU: Usaha menyediakan perumahan selesa dan mewartakan penempatan kampung sebagai antara pencapaian penting sepanjang dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, kata calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau yang juga penyandang kerusi DUN itu berkata, kawasan Apas yang berada di pesisir pantai menjadikan isu tempat tinggal yang teratur dan selamat sebagai keperluan mendesak yang perlu diberi penekanan.
“Sejak saya menjadi wakil rakyat, saya telah memperjuangkan untuk mendapat peruntukan untuk membina perumahan rakyat.
“Alhamdullillah saya difahamkan baru-baru ini ada engagement daripada Timbalan Menteri Ekonomi di peringkat persekutuan dan cadangan daripada kita untuk memohon pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) ini telah diberi respon yang positif,” katanya.
Tambahnya lagi, perkara itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri Sabah dan mendapat persetujuan, selain turut dibawa sendiri kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perumahan di negeri itu.
Malah permohonan sama juga telah dibentangkan di peringkat persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Justeru, pihaknya berharap peruntukan bagi pembinaan PPR dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), sekali gus membolehkan 500 hingga 1,000 unit rumah disediakan bagi memberi keselesaan kepada penduduk serta menyusun semula penempatan mereka yang memerlukan tempat tinggal lebih teratur.
Selain itu ujarnya, beberapa kawasan perkampungan yang sebelum ini tidak berdaftar kini berjaya diwartakan sebagai penempatan sah.
Usaha mewartakan penempatan ini katanya, merupakan langkah berterusan bagi memberi impak langsung kepada kehidupan penduduk.
“Sejak saya menjadi wakil rakyat saya telah berjaya mewartakan beberapa penempatan perkampungan yang telah digazetkan sebagai penempatan yang berdaftar.
“Ada beberapa lagi perkampungan, tempat-tempat yang kita sedang usahakan termasuklah di Kampung Titingan ini kita telah berjaya mewartakan satu kawasan untuk penduduk-penduduk yang memerlukan tempat tinggal. Ini adalah usaha kita yang berterusan,” katanya lagi.
Nizam akan mempertahankan kerusi DUN Apas untuk penggal ketiga dan bakal berdepan saingan daripada lima calon lain.
Mereka membabitkan Sarman Amat Simito (Warisan), Marsiah Omat (PPRS), Herman Amdas (PIS) Elmiariezan Ardan (BN) dan Lim Ting Khai (PN).
Pada PRN16, Nizam yang bertanding atas tiket PN, berjaya memperoleh 6,252 undi dengan mencatat 2,049 majoriti menerusi saingan empat penjuru.
Sementara pada penggal pertamanya yang bertanding atas tiket BN, Nizam memperoleh 7,243 undi juga dalam saingan empat penjuru dengan 1,787 majoriti.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

