[TERKINI] PRN Sabah: Pengundi bandar fokus isu ekonomi, luar bandar utamakan personaliti calon - Penganalisis
![[TERKINI] PRN Sabah: Pengundi bandar fokus isu ekonomi, luar bandar utamakan personaliti calon - Penganalisis [TERKINI] PRN Sabah: Pengundi bandar fokus isu ekonomi, luar bandar utamakan personaliti calon - Penganalisis](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763804213_TBPRNSAbah.jpg)
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17. - Gambar hiasan
LAHAD DATU: Sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat bercampur dan berbeza mengikut demografi, kata Felo Penyelidik ILHAM Centre Mujibu Abd Muis.
Jelasnya, pengundi bandar mempamerkan kecenderungan lebih progresif dengan memberi tumpuan kepada isu ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang merupakan isu yang dianggap selari dengan keperluan harian mereka.
Sebaliknya, pengundi di kawasan luar bandar dan pedalaman masih dipengaruhi faktor etnik serta kesetiaan kepada parti, selain hubungan personaliti calon dan jaringan di peringkat komuniti.
“Secara umum saya boleh kongsikan dalam konteks mood pengundi pada ketika ini, saya melihat seolah-olah menunjukkan satu mood yang agak bercampur, ini saya dapati diselang-selikan berdasarkan naratif parti lokal dan isu-isu tempatan.
“Pada masa yang sama juga isu-isu setempat yang sangat berbeza di antara satu demografi pengundi dan pengundi yang lain kerana apa yang kita dapati, sentimen pengundi di bandar itu agak sedikit progresif yang melihat kepada isu-isu ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan yang sinonim dengan kehendak pengundi di bandar.
“Namun begitu para pengundi di luar bandar terutamanya di kawasan pedalaman sentimen kaum etnik dan parti politik itu agak tebal di situ,” katanya.
Mujibu menambah, perpecahan parti dalam blok Kadazan Dusun Murut (KDM) turut menjadi faktor yang membentuk mood pengundi di kawasan bermajoriti komuniti tersebut, terutama di kerusi yang menyaksikan persaingan banyak penjuru.
Katanya, pecahan sokongan dalam kelompok itu boleh memberi kesan terhadap pilihan pengundi KDM pada hari pengundian, khususnya dalam menentukan parti mana yang dilihat lebih diyakini.
Selain itu, Mujibu berkata, beberapa kerusi di kawasan bandar dan separa bandar dijangka berisiko berubah tangan pada PRN kali ini susulan kecenderungan pengundi swing vote yang semakin ketara.
Tambahnya, sifat kerusi bercampur sama ada bandar atau semi-urban, lazimnya melahirkan kelompok pengundi yang tidak terikat dengan kesetiaan kepada parti tertentu.
Sebaliknya, kerusi luar bandar dijangka kekal stabil kerana sifat sokongan yang lebih setia kepada parti serta kekuatan calon yang bertapak lama.
“Tambahan pula kita harus melihat faktor penambahan pengundi yang sangat signifikan daripada 1.1 juta kepada 1.7 juta kebanyakkan penambahan itu berlaku di kerusi-kerusi yang bandar dan separa bandar.
“Jadi young voters ataupun urban dan semi-urban voters ini dia agak sedikit taktikal dalam mengundi.
“Sebagai pengundi yang kita katakan progresif dan rasional, mereka lebih melihat kepada undi daripada sudut nilai berbanding dengan kesetiaan parti ataupun kesetiaan kepada etnik dan kelompok tertentu,” katanya lagi.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

