[TERKINI] PRN Sabah: Pengundi kini melihat personaliti calon, bukan sekadar parti - Ronald Kiandee
![[TERKINI] PRN Sabah: Pengundi kini melihat personaliti calon, bukan sekadar parti - Ronald Kiandee [TERKINI] PRN Sabah: Pengundi kini melihat personaliti calon, bukan sekadar parti - Ronald Kiandee](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763349003_RonaldKiandee.jpg)
Menurut Ronald, perubahan pola pemikiran pengundi khususnya golongan muda menjadi faktor utama yang menjadikan landskap PRN kali ini jauh berbeza berbanding pilihan raya lalu. - Gambar Astro AWANI
SANDAKAN: “Rakyat sekarang bijak. Mereka melihat personaliti calon, walaupun sebahagiannya masih melihat kepada parti.”
Itu penegasan Datuk Seri Ronald Kiandee, ketika mengulas keputusan Perikatan Nasional (PN) meletakkannya sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kali ini.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran selama 25 tahun berkata, perubahan pola pemikiran pengundi khususnya golongan muda menjadi faktor utama yang menjadikan landskap PRN kali ini jauh berbeza berbanding pilihan raya lalu.
Beliau berkata, penglibatan besar pengundi baharu termasuk mereka berusia 18 tahun buat pertama kali menjadikan proses pemilihan wakil rakyat lebih dinamik dan kritikal.
“Ini perubahan politik di Sabah. Buat pertama kali pengundi bawah 18 tahun menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka.
“Dinamika pengundian PRN kali ini tidak sama dengan PRN lalu.
“Anak muda lebih ke hadapan daripada segi penilaian, mengetahui apa yang berlaku di kawasan, negeri dan juga peringkat nasional,” katanya.
Jelasnya, kelompok pengundi muda kini menilai calon berdasarkan keupayaan, rekod dan keperibadian, selain sensitiviti terhadap isu-isu semasa.
Mengulas mengenai kecenderungan pengundi Sabah yang tetap memilih wakil rakyat sama walaupun mereka beralih parti, Ronald berkata fenomena itu adalah keunikan politik Sabah.
Menurut Ronald yang juga Pengerusi PN Sabah, di banyak kawasan, pengundi tetap mengangkat semula pemimpin tersebut kerana hubungan dan khidmat yang telah dibina.
“Sabah ini unik. Kita kerap menukar kerajaan dan wakil rakyat lebih kerap berbanding negeri lain.
“Kadang-kadang wakil rakyat beralih parti atas asas tertentu dan atas kehendak rakyat,” katanya.
“Kalau ini berlaku di Semenanjung, mungkin tidak diterima. Tetapi di Sabah, ada kawasan yang menerima kerana mereka memerlukan wakil rakyat yang benar-benar boleh membantu,” katanya lagi.
Justeru, Ronald berkata, beliau menghormati kebijaksanaan pengundi Sugut dan bersedia untuk terus berkhidmat berdasarkan keperluan rakyat serta perubahan arus politik semasa.
Untuk persaingan di DUN Sugut, Ronald bakal berdepan saingan enam calon lain bagi merebut kerusi tersebut.
Ia melibatkan saingan daripada Rosely Lajun (PIS), Roger Langgau (Bebas), Aspah Abdullah Sani (Warisan), Hassan Mentiak (PPRS), Mohammad Arifin Pachuk (BN–UMNO) serta Datuk James Ratib (GRS–Gagasan Rakyat).
Pada PRN16, kerusi berkenaan dimenangi James Ratib yang ketika itu mewakili BN dengan majoriti 1,664 undi.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

