[TERKINI] PRN Sabah: 'Saya bertanding untuk selesaikan isu rakyat yang berlarutan' - Vivian Wong
![[TERKINI] PRN Sabah: 'Saya bertanding untuk selesaikan isu rakyat yang berlarutan' - Vivian Wong [TERKINI] PRN Sabah: 'Saya bertanding untuk selesaikan isu rakyat yang berlarutan' - Vivian Wong](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763540770_tbVivianWong.jpg)
Visi dan misi Vivian dalam PRN Sabah ini adalah untuk menangani isu setempat yang sudah lama berlarutan. - Astro AWANI
SANDAKAN: Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Vivian Wong, menegaskan penyertaannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan semata-mata untuk merampas kembali kerusi itu daripada Warisan, sebaliknya bertujuan menangani isu setempat yang berlarutan.
Beliau berkata masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan pencahayaan jalan masih menjadi aduan utama penduduk Sandakan, namun kebanyakan isu tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Visi dan misi saya kali ini adalah untuk menyelesaikan isu Sandakan. Ke mana sahaja kita pergi, penduduk akan cakap tentang air, elektrik dan lampu jalan. Ini semua di bawah kerajaan negeri.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya sudah berkali-kali membahas dan cuba mendapatkan peruntukan sebanyak mungkin, tetapi selepas sampai ke peringkat negeri, kita tidak tahu bagaimana ia digunakan kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas mengenai bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, yang keluar parti dan bertanding atas tiket Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di DUN Tanjung Papat, Vivian menjelaskan keputusan itu perlu dilihat dalam konteks proses dalaman parti.
Beliau berkata perubahan kepimpinan dalam DAP Sabah pada 2024 dibuat berdasarkan keputusan perwakilan parti yang memilih hala tuju baharu selepas Frankie gagal mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi.
“Pada 2024, Datuk Frankie gagal mempertahankan kedudukan sebagai Pengerusi DAP Sabah.
“Ini menunjukkan kurang keyakinan dalam parti terhadap kepimpinannya. Sebab itu perwakilan memilih Datuk Phoong Jin Zhe sebagai pengerusi baharu.
“Walaupun beliau (Jin Zhe) muda, pada usia 36 tahun, kebolehannya berkhidmat dan membawa pelaburan ke Sabah adalah contoh yang sangat baik untuk semua,” katanya.
Pada Oktober lalu, Frankie bersama bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui, mengumumkan keluar parti hanya sebulan selepas menyatakan hasrat mempertahankan kerusi DUN Tanjung Papat pada PRN17.
Tindakan itu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati Frankie terhadap kepimpinan parti, yang didakwa mengabaikan pemimpin veteran, selain dakwaan wujudnya usaha menggantikan pemimpin di kawasan yang diwakilinya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

