[TERKINI] PRN Sabah: ‘Saya masih sayangkan bekas Presiden’ - Fairuz Renddan
![[TERKINI] PRN Sabah: ‘Saya masih sayangkan bekas Presiden’ - Fairuz Renddan [TERKINI] PRN Sabah: ‘Saya masih sayangkan bekas Presiden’ - Fairuz Renddan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763613625_FairuzRenddan.jpg)
Fairuz ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KOTA BELUD: Datuk Fairuz Renddan mengakui masih menyayangi dan menghormati bekas Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor walaupun mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, akan datang.
Ringkasan AI
- Datuk Fairuz Renddan menyatakan masih menyayangi dan menghormati bekas Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor, meskipun bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
- Fairuz mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas selepas berbincang dengan jentera, ketua-ketua kelab belia, dan kelompok anak muda di seluruh Sabah yang mendesaknya untuk meneruskan perjuangan suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.
- Fairuz menegaskan bahawa perjuangannya berpaksi kepada membawa suara anak muda dan memastikan pembangunan DUN Pintasan diberi keutamaan, serta menjangkakan persaingan sengit dalam PRN Sabah kali ini di DUN Pintasan.
“Saya sendiri bersama Presiden (Hajiji) ketika mana kami terumbang-ambing, bukan dalam kerajaan bila mana kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Saya juga bersama beliau sehinggalah tertubuhnya kerajaan sekarang. Jadi saya faham ‘tawaran’ yang beliau berikan itu memang menunjukkan beliau memang sayangkan saya, dan kita pun sangat
sayangkan Presiden. Presiden kita adalah orang yang baik,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini pada Rabu.
GRS mencalonkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia di DUN Pintasan, sekali gus menyebabkan Fairuz tidak dicalonkan.
Mengulas lanjut, Fairuz berkata keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas dibuat selepas berbincang bersama jentera, ketua-ketua kelab belia, dan kelompok anak muda di seluruh Sabah yang mendesaknya untuk terus memperjuangkan suara mereka.
Beliau menegaskan perjuangan tetap berpaksi kepada misi asal iaitu membawa suara anak muda dan memastikan pembangunan DUN Pintasan diberi keutamaan.
“Walaupun kita faham ada calon-calon anak muda tetapi DUN Pintasan ini adalah suara keramat anak-anak muda di kawasan ini.
“Kita lihat sendiri bila mana kita tidak dicalonkan di Pintasan, kekecewaan itu memang sangat terasa bagi mereka, bukan hanya di daerah ini tetapi juga daerah-daerah lain,” ujarnya lagi.
Selain itu, Fairuz menjangkakan persaingan di DUN Pintasan pada PRN Sabah kali ini antara yang sengit termasuk berdepan Pandikar, yang merupakan toloh politik veteran.
Namun demikian, beliau percaya bahawa kuasa sebenar dalam menentukan hala tuju kepimpinan ialah rakyat, bukannya ‘tangan ghaib’.
Hala tuju politik
Mengenai hala tuju politik sekiranya diberikan mandat di DUN Pintasan, Fairuz menegaskan akan berperanan sebagai calon Bebas yang mempunyai kuasa penentu, bukan sekadar mengikut mana-mana parti.
Beliau turut mengakui terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selepas PRN, namun menekankan kerjasama itu hanya berlaku jika kedudukan serta arah perjuangannya selari dengan keperluan rakyat.
“Kita calon Bebas, tetapi bukan calon Bebas yang hanya mengikut. Kita calon Bebas yang menang sebagai ‘kingmaker’.
“Jadi kita pastikan siapa kerajaan yang akan memimpin negeri ini dan pastikan kita gunakan kemenangan ini untuk menyuarakan hak semua, sama ada belia atau rakyat DUN Pintasan,” tambah pemimpin berusia 41 tahun itu.
Dalam masa sama, Fairuz juga mendedahkan sekurang-kurangnya lima parti telah mendekatinya, dengan tawaran-tawaran tertentu.
Begitu pun, pendiriannya tetap sama iaitu bukan jawatan yang dicari, sebaliknya perjuangan mengangkat suara rakyat yang bakal diwakilinya.
“Lebih daripada lima parti, dua parti nasional dan yang lain itu ialah parti tempatan. Tetapi tidaklah orang kata menjadi keutamaan saya,” katanya.
Perjuangan di DUN Pintasan
Fairuz menjelaskan perancangan ekonomi dan pembangunan, akan menjadi agenda utama sekiranya beliau diberikan mandat di DUN Pintasan.
Menurutnya, lebih 30 peratus program kebajikan, geran dan inisiatif komuniti sudah berjaya dilaksanakan sepanjang perkhidmatannya sebelum ini, namun masih banyak yang perlu diperkukuhkan.
Ujar beliau, majoriti penduduk di DUN Pintasan terdiri daripada komuniti nelayan, terutamanya di kawasan Pantai Mas yang merupakan antara pengeluar ikan liking dan hasil laut tempatan.
Tambahan pula, kedudukan Pintasan yang berhampiran dengan Pulau Mantanani menjadikan kawasan itu tumpuan pelancong.
“Ramai nelayan di sini, dan kawasan ini juga menerima kedatangan pelancong kerana Pulau Mantanani. Jadi memperkukuh ekonomi nelayan dan sektor pelancongan adalah antara perjuangan saya,” jelasnya.
Selain itu, Fairuz mahu mempercepatkan penubuhan sebuah pekan baharu yang telah lama dirancang bagi memberi impak ekonomi yang lebih tersusun kepada masyarakat setempat.
Dalam PRN Sabah ke-17, Fairuz berdepan saingan 11 penjuru dalam usaha beliau mempertahankan kerusi DUN Pintasan atas tiket Bebas.
Selain Pandikar, turut bertanding ialah calon Barisan Nasional (BN), Tadzul Radim; Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Abdullah Otong (Parti Warisan).
Turut bertanding, Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Almudin Kaida; Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Rizal Saiman (Bebas), Syarif Mohd Shukree Danchingan (Bebas), serta Tajuddin Padis (Bebas).
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

