PM Anwar sifatkan kunjungan ke Ethiopia sebagai sangat bermakna, produktif

Perdana Menteri menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali di Istana Negara di sini malam tadi. - Foto FB Anwar Ibrahim
ADDIS ABABA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kunjungan sulung beliau ke Ethiopia sebagai sangat bermakna dan produktif, sambil menegaskan bahawa hubungan Malaysia dengan negara itu bukan sekadar urusan diplomasi biasa.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kunjungan sulung ke Ethiopia sebagai bermakna dan produktif, menegaskan hubungan Malaysia-Ethiopia lebih dari sekadar diplomasi biasa.
- Beliau dan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, membincangkan isu perdagangan, pelaburan, teknologi, kecerdasan buatan, serta kemanusiaan seperti kezaliman di Gaza dan perang di Sudan.
- Anwar menekankan hubungan akrab Malaysia-Ethiopia sejak zaman Raja Najashi, sambil memuji usaha Abiy Ahmed dalam merangkul kekuatan ramai untuk reformasi yang bermakna, sebelum meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg dan Nairobi.
Perdana Menteri berkata beliau turut menekankan mengenai sejarah panjang hubungan akrab Malaysia-Ethiopia.
"Saya menzahirkan peringatan tentang kerajaan agung pimpinan Raja Najashi yang membuka pintu perlindungan kepada umat Islam yang berhijrah dengan semangat dan sikap yang luar biasa.
"Justeru, mengapa harus kita terus berbicara untuk memicu perpecahan sedangkan sejarah mengajar kita erti kemanusiaan dan saling mengasihi?
"Kita menekankan MADANI untuk tidak hanya menumpukan pada kemajuan materi, tetapi juga menekankan nilai," katanya sambil menambah kerajaan pimpinan Abiy Ahmed gigih mempasak konsep Medemer sebagai usaha merangkul kekuatan ramai dalam menjelmakan reformasi yang bermakna.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abiy Ahmed atas kesudian dan kesanggupan pemimpin Ethiopia itu datang ke Kuala Lumpur dari Tanduk Afrika tahun lepas sebagai usaha untuk melakar perjalanan persahabatan ini.
Dengan nada bergurau, Anwar memaklumkan "Dr Abiy bukan sahaja menyebabkan saya melakukan lebih banyak kerja di Addis Ababa tetapi juga memaksa saya berjalan dari satu muzium ke muzium yang lain!" merujuk kepada beberapa muzium yang dikunjungi beliau sejak tiba di negara itu.
Sejurus ketibaan beliau pada 18 Nov lepas, Perdana Menteri telah dibawa oleh rakan sejawatnya itu ke Muzium Sains Ethiopia, yang menampilkan sejarah perkembangan teknologi dan inovasi negara berkenaan.
Muzium itu, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari lapangan terbang dengan kereta, adalah simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.
Anwar turut dibawa melawat "Friendship Park" iaitu destinasi popular bagi rakyat Ethiopia dan para pelancong yang ingin menikmati kehijauan serta keindahan landskapnya.
Pada hari kedua lawatannya, beliau telah dibawa ke mercu tanda Ethiopia iaitu Muzium Peringatan Kemenangan Adwa.
Menurut laman sesawang muzium itu, Pertempuran Adwa yang berlaku pada 1 Mac 1896, merupakan satu pertempuran bersejarah antara Empayar Ethiopia, yang dipimpin oleh Maharaja Menelik II, dan Kerajaan Itali di bawah pimpinan Jeneral Oreste Baratieri.
Berlaku berhampiran pekan Adwa di utara Ethiopia, pertempuran itu menyaksikan kemenangan penting bagi Ethiopia dan menandakan titik perubahan besar dalam sejarah benua Afrika.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja beliau ke Johannesburg di Afrika Selatan mulai hari ini hingga 23 Nov ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 dan Nairobi di Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


