Skip to main content

Politik

Wong Chen letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini

Wong Chen
Pada 5 Ogos, saya bertemu Speaker dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada jam 5 petang, ujar Wong Chen.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa pada jam 5 petang, Isnin.

Wong Chen yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.

“Pada 5 Ogos, saya bertemu Speaker dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada jam 5 petang.

“Ini bagi memberikan pegawai Parlimen tempoh tiga hari bekerja untuk membuat persediaan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Wong Chen, beliau dan Johari turut mencapai persefahaman untuk tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai peletakan jawatan itu sehingga jam 5 petang, 10 Ogos.

Dalam surat bertarikh 5 Ogos yang ditujukan kepada Johari, Wong Chen memaklumkan secara rasmi hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi P.104 Subang secara sukarela.

Beliau berkata, notis berkenaan diberikan lebih awal bagi membolehkan pentadbiran Parlimen menguruskan segala proses serta dokumentasi berkaitan kekosongan kerusi berkenaan.

Wong Chen turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Susulan peletakan jawatan itu, beliau berkata gelaran kehormat “Yang Berhormat” akan ditanggalkan daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat pejabatnya selewat-lewatnya bulan depan.

Bagaimanapun, Wong Chen tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya dalam kenyataan berkenaan.

Beliau dijadual mengadakan sidang media pada Rabu, jam 11 pagi bagi memberikan penjelasan lanjut.

Untuk rekod, Wong Chen merupakan antara lima Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menyuarakan rasa kecewa berhubung tindakan menyekat akses kepada portal MyKhas, yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Empat lagi ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Sebelum ini, dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada 18 Mei lalu, sebelum meninggalkan PKR untuk menyertai platform politik baharu.

Rafizi merupakan bekas Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Kedua-duanya sebelum itu meletakkan jawatan daripada Kabinet pada 2025 selepas tewas dalam pemilihan PKR, dengan peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa 17 Jun manakala Nik Nazmi pada 4 Julai 2025.


 

Must Watch Video

Advertisement