Masih terlalu awal untuk menilai calon Pakatan Harapan, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai ‘game changer’ bagi menarik undi pada PRU14.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Nik Omar tidak terkenal sebelum ini, jadi untuk mengatakannya mampu memberi impak tinggi, itu masih belum lagi.

“Yang jelas, landskap politik di Kelantan dan Malaysia menjadi lebih menarik kerana beliau anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga abang kepada Nik Abduh.

"Nik Abduh lebih terkenal, apatah lagi kontroversi tular rakaman suaranya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang jelas adalah Nik Abduh masih setia bersama Pas, tetapi bukan Nik Omar.

TONTON: [WAWANCARA EKSKLUSIF] bersama calon DUN Chempaka Nik Omar Nik Aziz

Bagaimanapun katanya, ia mungkin satu suntikan semangat kepada Harapan, selain faktor Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mempengaruhi penyokong Pas, khususnya.

“Adakah penyokong Pas akan beralih arah? Jangan terlalu optimistik. Nik Omar masih baru dalam politik nasional. Di Kelantan mungkin ada impak tetapi di peringkat nasional mungkin tidak,” katanya.

Sementara itu, Mantan Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, pengaruh Nik Omar mampu memberi impak positif kepada Harapan untuk pengundi di Kelantan.

Katanya, impak ini turut mampu menarik pengundi atas pagar sebagai ‘nasi tambah’ untuk Harapan.

“Bagaimanapun, kemunculannya (Nik Omar) dalam Harapan secara mendadak dan ‘last minute’ iaitu 10 hari menjelang PRU14, kesannya tidak terlalu besar seperi yang dijanga sesetengah pihak.

“Namun, di Kelantan itu adalah positif yang baik untuk parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Nik Omar ini mampu memberi sokongan dan semangat kepada orang muda Pas dan Amanah untuk mengimbangi pengaruh dengan Pas.

Katanya, ribuan penyokong Harapan dalam perhimpunan di Putrajaya kelmarin dilihat banyak dipengaruhi kehadiran Nik Omar selain Mahathir.

“Sepatutnya beliau (Nik Omar) ini muncul setahun lalu, bukan apa, mungkin banyak perkara boleh dibuat. Tetapi ia bergantung kepada kempen di minit-minit akhir,” katanya.

Kelmarin, lebih 3,000 orang membanjiri kawasan tempat letak kereta di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bagi menghadiri Ceramah Kebangkitan Rakyat yang menampilkan dua pemimpin ‘panas’ sepanjang kempen PRU14 iaitu Mahathir dan Nik Omar.