Skip to main content

Politik

Tiada 'deal' kerusi antara UMNO dan KJ - Akmal Saleh

Akmal Salleh
Akmal (tengah) menegaskan UMNO sentiasa terbuka menerima mana-mana individu yang mahu kembali menyertai perjuangan parti - Foto/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rundingan antara UMNO dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung kemasukannya semula ke dalam parti, termasuk tawaran kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan UMNO sentiasa terbuka menerima mana-mana individu yang mahu kembali menyertai perjuangan parti.

“Ini Rumah Bangsa. Jadi sebab ini Rumah Bangsa, kita mengalu-alukan sesiapa yang nak masuk.

“Tak ada ‘deal’, tak ada bawah tanah ke, atas meja ke, tak ada. Siapa yang rasakan bahawa perjuangan UMNO ini adalah perjuangannya, kita mengalu-alukan kemasukan,” katanya dalam sidang media selepas program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCK KL), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud sebarang rundingan melibatkan kerusi pilihan raya untuk Khairy.

Dr Akmal berkata, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau sendiri masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding atau sebaliknya pada PRU akan datang.

“KJ pun tak tahu sama ada dia nak tanding atau tidak bertanding. KJ pun dah buat kenyataan dia nak masuk (UMNO) ini atas sebab dia sayangkan UMNO dan sebagainya.

“Tak ada ‘deal’ antara UMNO dan KJ setakat ini, tak adalah insya-Allah,” ujar beliau lagi.

Khairy, antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli UMNO yang diterima kembali menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Dalam perkembangan sama, Dr Akmal memaklumkan sebanyak 25 resolusi telah dikemukakan hasil program Rimbun 2.0 dan akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Menurut beliau, resolusi berkenaan turut akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung Isnin ini di Johor.

Antara resolusi berkenaan termasuk cadangan mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penyasaran subsidi dalam usaha menyokong ekonomi negara susulan ketidaktentuan global.

“Sudah tentu kita mahu melihat polisi ekonomi yang lebih stabil. Selain itu, isu ketidakadilan gaji terhadap pekerja juga perlu diberi perhatian.

“Pada masa yang sama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan jelajah satu Malaysia untuk kita terangkan apakah perancangan polisi ekonomi kita, jika mana tahu insya-Allah UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberikan peluang sekali lagi untuk memerintah negara," ujarnya.

Turut serta dalam Rimbun 2.0 ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Must Watch Video