YAN: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tiada gangguan atau ‘ribut berlaku dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang menggesa Perdana Menteri diberi ruang untuk mentadbir negara sehingga tamat penggal adalah berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari.

Dalam masa sama, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk berbicara mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, kata Tuan Ibrahim, tumpuan perlu diberikan kepada proses untuk memulihkan ekonomi dan krisis kesihatan yang berlaku.

"Gangguan (untuk jatuhkan kerajaan) tidak ada… tidak ada rebut, cuma kita melihat di waktu ini bukan waktu sesuai untuk bicara soal PRU. Rakyat masih perlu pembangunan ekonomi, aspirasi 100 hari (yang) diumum oleh Perdana Menteri (baru sahaja berlalu) dan COVID-19 masih belum selesai.

"(Atas) sebab itu BBC buat keputusan untuk nyatakan dokongan sehingga tamat penggal kepada Perdana Menteri yang ada… saya fikir itu terbaik kerana perlu untuk kita sampai ke tahap itu (mencapai tahap pemulihan) Insya-Allah," jelas Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia menggesa Ismail Sabri diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, keperluan itu berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari selepas mula memegang jawatan itu pada 21 Ogos tahun ini.