KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menghalang mana-mana pemimpin parti politik dari Semenanjung Malaysia yang mahu datang berkempen di negeri ini pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak nanti.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun mereka hendaklah terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan benar-benar sihat sebelum tiba.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini beliau berkata, di samping itu mereka yang tiba di Sarawak juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak berkuasa berkaitan.

Menyentuh peluang GPS dalam PRN Sarawak akan datang ini, beliau berkata gabungan yang melibatkan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sudah cukup bersedia untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam PRN ini.

"Kita bukan mahu mendabik dada dan sombong tetapi keyakinan itu berdasarkan khidmat cemerlang GPS dalam mentadbirkan negeri ini kerana kita sentiasa menyantuni rakyat, bukan seperti parti pembangkang yang hanya muncul ketika pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA