ALOR SETAR: Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah dalam masa terdekat susulan penafian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional bahawa berlaku gerakan dalam menjatuhkan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, keputusan untuk mengadakan PRN selepas pembubaran DUN di negeri Johor hanya memberikan keseronokan kepada individu tertentu dalam memenuhi agenda peribadi mereka.

Tambah beliau, adalah lebih baik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding PRN dari satu negeri ke satu negeri lain memandangkan tindakan itu menelan kos serta perbelanjaan yang amat besar.

"(Isu tarik sokongan) itu saya tidak dengar, ADUN Bandar Baharu, (Datuk) Sabrina pun dah nafi jadi mungkin kalau saya secara peribadi, dari sudut politik saya boleh bersetuju (adakan PRN) tetapi hakikatnya kalau kita lihat dari segi kehidupan tiada keperluan buat pilihan raya, kalau nak seronok kepada orang politik, boleh buat pilihan raya negeri ke negeri sebagainya, tetapi untuk apa?” kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Bertemu Mata, Bertanya Khabar Petani, di Kampung Atas Kota, Langgar, pada Khamis.

Kata Mahfuz, semua pihak harus sedar bahawa menganjurkan pilihan raya memerlukan kos yang sangat tinggi seperti untuk PRN Johor sahaja menelan RM150 juta.

Kos itu juga, kata beliau, hanya melibatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan belum mengambil kira bajet untuk agensi-agensi dan jabatan-jabatan berkaitan lain.

"Bagi saya kalau nak buat pilihan raya (kena) serentak bukan lagi satu negeri ke satu negeri, negeri Johor (sahaja) kos sampai RM150 juta. Berapa ratus juta kita akan belanja? Kalau pilihan raya umum belanja lagi… banyak itu juga untuk satu negeri," ujar Mahfuz.

Pada Selasa, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih mempunyai tempat di hati rakyat Kedah menjelang PRU15 meskipun hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di negeri itu pada pilihan raya lalu.

Beliau juga tidak menafikan bahawa kerajaan negeri Kedah yang dipimpin Pas ketika ini tidak membawa sebarang agenda baharu dan hanya meneruskan kesinambungan projek tinggalan kerajaan BN sebelum-sebelum ini.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula berkata, dakwaan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan daripada empat ADUN terhadap kepimpinannya hanya merupakan satu khabar angin.

ADUN BN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui juga turut menafikan dakwaan bahawa dia bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.