Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia diseru agar memilih wakil rakyat dengan bijak tanpa dipengaruhi sentimen atau emosi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, 8 Sept ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pihaknya yakin pengundi di Seri Setia akan memilih calon Pakatan Harapan (PH) berdasarkan rekod cemerlang parti pemerintah itu yang mentadbir Selangor sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata tiada nilai tambah kepada rakyat sekiranya DUN Seri Setia jatuh ke tangan pembangkang sebaliknya hanya mengganggu kelangsungan program yang sudah dirancang.

"Tiada manfaat apa-apa jika bertukar buat masa ini, cuma menambah suara pembangkang dari lima kerusi kepada enam kerusi.

"Bagi saya ia cuma mengganggu kelangsungan program yang sudah dirangka di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat di Masjid Al- Islamiah Kampung Lindungan, di sini pada Jumaat.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK ketiga diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

PH pada Khamis menamakan bekas Anggota Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Halimey Abu Bakar sebagai calon parti itu manakala PAS menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor Dr Halimah Ali sebagai calon mereka pada PRK tersebut.Penamaan calon bagi PRK itu akan diadakan esok di Dewan Sivik di sini. -- Bernama