KUALA LUMPUR: Hubungan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa 'sedang dingin', adalah tidak benar.

Menafikan perkara tersebut, Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, hubungan dua pemimpin utama dalam Perikatan Nasional (PN) itu, kekal baik.

"Saya ingin beritahu secara rasmi, tidak ada langsung perang antara Muhyiddin dan Abdul Hadi di mana mereka ini kekal sepakat dalam PN. Pas menentukan dalam Majlis Syura

"Hubungan mereka sangat baik dan mereka akan menjadi pembangkang lebih baik selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa kedua-dua pemimpin itu sedang berbalah mengenai isu calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.

Portal tersebut yang memetik sumber sebagai berkata, hubungan tersebut menjadi dingin selepas Muhyiddin membuat 'pusingan U' apabila mengumumkan sedia mempertahan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu, sedangkan Pas mencadangkan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PM bagi gabungan itu pada masa depan.

Selain itu, Syed Muhammad Imran turut menafikan hubungan antara Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam keadaan tidak baik.

"Dalam Bersatu dan PN, tidak ada langsung perbalahan antara Muhyiddin dan Hamzah," dakwanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berkata PN adalah sebuah parti yang paling 'dominan' untuk orang Melayu.

"Cerita luar sememangnya tidak betul. Kesimpulannya, PN akan bertambah kuat dan lebih baik," ujarnya.