Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah menyanggah laporan yang disiarkan oleh portal myKMU.net yang mendakwa terdapat pemimpin Pemuda parti itu yang berkomplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Armand berkata perbincangan di antara exco pemuda UMNO Pusat dan ketua pemuda UMNO Johor hanyalah berkisar tentang isu-isu yang bakal disentuh oleh pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh.

"Sebagai mana kita tahu isu yang pasti dibangkitkan adalah isu 1MDB dan GST. Boleh dikatakan perbincangan di antara barisan kepimpinan pemuda adalah ke arah isu ini.

"Maka perbincangan secara kolektif dibuat untuk mendapat pendapat yang berbeza dalam isu yang dibangkitkan.

"Boleh dikatakan dalam perbincangan tersebut tiada mana-mana pihak mendesak Datuk Seri Najib letak jawatan seperti mana yang ditulis myKMU," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya lagi, secara peribadi beliau berpendapat isu 1MDB perlu dijawab oleh pihak pengurusan badan tersebut dan bukan oleh UMNO.

"Pihak 1MDB yg seharusnya dipertanggungjawabkan dalam isu penjelasan isu ini secara terang dan terbuka sementara menunggu keputusan audit negara dan PAC.

"Kerana isu ini akan diguna pakai oleh pihak pakatan dalam PRK yang akan dijawab oleh pihak BN di mana sepatutnya dijawab oleh pihak 1MDB," katanya lagi.

Semalam portal myKMU.net menyiarkan laporan yang mendakwa lima pemimpin pemuda UMNO pusat diketuai oleh Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan Harun mengadakan mesyuarat bersama Pemuda Umno Johor di Rompin untuk menjatuhkan Najib.

Dalam laporannya myKMU.net mendakwa Khairul Azwan atau Azwan Bro dalam mesyuarat itu turut melahirkan rasa tidak percaya dengan penjelasan Najib semasa pertemuan bersama Pemuda UMNO minggu lalu.

Khairul Azwan ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas sama ada berita yang disiarkan oleh myKMU.net itu benar atau tidak.