KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan tiada sebab beliau dipanggil untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga meminta supaya menghentikan sebarang spekulasi mengenai hal tersebut.

"Apa sebab saya nak dipanggil SPRM. Jadi soalan itu tak timbul.

"Jangan buat spekulasi bukan-bukan. Kita sekarang ini menghadapi satu ujian dan cabaran yang begitu hebat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 di Menara PGRM di sini pada Jumaat.

Hamzah juga memaklumkan pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi semangat kepada semua ahli dan perwakilan untuk bergerak ke hadapan.

"Kali ini kita lebih bersemangat bukan hanya tunjukkan solidariti tetapi mahu tentang kezaliman dalam negara kita.

"Jadi kalau pun sesiapa yang kena (didakwa), kita akan terus bersama untuk menentukan bahawa parti ini adalah satu parti yang tetap memperjuangkan kebenaran," ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, tuduhan terhadap Muhyiddin bersifat kepada pertuduhan terpilih bagi melindungi dan memihak satu isu yang besar berlaku dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH).

[TERKINI] Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan


Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad. -Sinar Harian