ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa kerjasama yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) adalah bagi memberi ruang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Tegas beliau, kerjasama tersebut dibentuk berlandaskan titah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Tambahnya, kesepakatan yang dibina itu juga adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak, berteraskan beberapa perjanjian.

Ia termasuk pengurusan tatakelola pentadbiran yang baik, selain menyelamatkan negara daripada rasuah dan penyelewengan.

"(Dalam kerjasama itu) diletakkan syarat, kita janji dan bincang, pertama (perlu ada) tatakelola yang baik, negeri (dan negara) ini perlu diselamatkan, institusi-institusi (yang ada dalam) negara mesti teratur.

"(Kita juga) mahu tolak rasuah, penyelewengan. Itu yang kita putuskan. Ekonomi tidak dibolot satu dua tauke besar, ekonomi adalah untuk rakyat," katanya berucap pada Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap agar semua pihak tidak mendahului keputusan mahkamah termasuk kes pendakwaan yang melibatkan Ahmad Zahid sendiri.

Tegas Anwar lagi, sepanjang menjawat jawatan sebagai TPM, Presiden UMNO itu mematuhi segala dasar yang ditetapkan kepimpinannya dan perkara itu perlu menjadi satu contoh yang boleh diraikan.

"Mereka (pihak lawan) kata (saya cakap pasal rasuah dan sebagainya) tetapi Ahmad Zahid pun ada kes mahkamah. Biar mahkamah (hukum), (kamu) putuskan awal-awal pasal apa?

"Mereka pun kluster mahkamah ramai, (tetapi) sokong tera (pada tahap) itu juga. Mereka tetap sokong (walaupun sudah jadi kluster mahkamah),

"(Tetapi) apa yang saya tahu, beliau (Ahmad Zahid) sebagai TPM, (semua) dasar (atau) sebarang tender, semua dikuti secara strict (tegas). Inilah contoh pemimpin yang kita hendak raikan," tambah Anwar.